sambil fikir zikir sambil zikir fikir

Hadaplah Wajah Mu Ke Mana-Mana Di Situ Ada Tuhan


@Hak cipta terpelihara.Semua artikel dan foto dalam blog ini adalah milik mutlak Cikgu Nasir .
Dilarang sama sekali sebarang bentuk salinan, peniruan atau penerbitan semula tanpa izin penulis/pengarang.





HUBUNGI :

handphone/wassap : 0135292452
email : cikgunasir8130@gmail.com
fb: cikgunasir

Friday, August 31, 2007

Alam mistik dan persilatan

Alam mistik Melayu sangat rapat hubungannya dengan ilmu persilatan dan orang Melayu. Tapi zaman sudah berubah, ramai orang Melayu berasakan pengetahuan agama mereka cukup tinggi dan mula memandang serong dunia mistik Melayu, tempiasnya turut menimpa dunia persilatan. Akibatnya orang Melayu yang cetek ilmunya mendabik dada itu tak boleh, ini tak boleh, ini bertentangan dengan Islam, ini khurafat, ini haram dan sebagainya lagi. Mereka dengan rela hati dan bangga menjemput beladiri asing ke institusi mereka untuk mempamerkan kehebatan tanpa rasa curiga dan bersalah. Inilah sebenarnya sifat minda bangsa kita yang masih terjajah.

Kayu Kemuning kuning

Pada masa kini keris yang saya tempah untuk rakan-rakan berjumlah 13 bilah dan masih lagi dalam proses pembuatan. Di samping itu juga tempahan untuk Lawi ayam( kerambit) yang belum disiapkan sebanyak 6 bilah. Antara tempahan yang inginkan sarung dari kemuning emas ialah tempahan dari Cikgu Nuruddin, Keris Istiadat Jabatan Pelajaran Negeri 9 dan keris saya sendiri. Untuk pengetahuan pada masa kini untuk mendapatkan stok kayu kemuning amat sukar dan harganya pun mahal. Walau bagaimanapun saya sedaya upaya cuba untuk memenuhi hasrat kawan-kawan untuk mendapatkan yang terbaik dan menepati kehendak. Bahagian yang paling cantik dan bermutu untuk dibuat sarung dan hulu keris ialah teras yang berada di dalam tunggul kemuning hitam. Walau bagaimanapun harganya terlalu mahal dan bahan mentahnya terlalu sulit untuk diperolehi. Contoh kayu kemuning kuning ialah ulu dan sarung kerambit yang terdapat dalam blog ini.

Ilmu geroh ( firasat)

Mengapa perlu dipelajari oleh seorang pesilat :
1. Warisan Melayu
2. Lebih bijak daripada musuh kita
3. Menambah keyakinan
4. Menjadikan kerja buat kita tidak membabi buta

Arm Lock....senjata rahsia silat Melayu

Arm Lock atau kuncian tangan merupakan pakaian guru-guru tua dalam silat Melayu. Seni kuncian tangan ini begitu menyakitkan sekali. Pada masa kini ia semakin luput ditelan zaman. Dari hari ke hari namanyapun sudah tidak kedengaran lagi. Apakah kita sanggup melihat pada suatu hari nanti silat Melayu sudah hilang taringnya, sudah hilang bisanya,sudah hilang seninya. Namun begitu, seni ini bukan untuk tontonan umum, mahupun untuk mencari beberapa ringgit sebagai ganjaran. Ia melebihi segalanya kerana jika kita menguasai seni ini , percayalah suatu hari maruah bangsa bisa kita julang. Kepada sahabat-sahabat yang bergiat aktif dalam seni Gayong, lupakan persengketaan, buang hasad dan dengki, jujurlah pada diri sendiri, jujurlah pada anak-anak murid kita, jujurlah pada persatuan. Kembalikan kehebatan gayong dengan menguasai ilmunya bukan dengan topeng yang kita sendiri reka. Wallahualam.

Tuesday, August 28, 2007

Geroh...

Geroh..., geruh, gerah : mengikut kamus Dewan 'geruh' bermaksud malang , celaka, nasib buruk, sial, kemalangan. Jadi dalam perbincangan ini saya andaikan bahawa konteks geruh ialah kemalangan atau nasib malang. Dalam bidang persilatan ia menjadi elemen pelengkap kepada seorang pendekar Melayu . Adalah amat malang jika seseorang yang merasakan dirinya sudah cukup masak dalam bidang persilatan tetapi terlepas pandang akan kepentingan ilmu ini. Cuba kita kaji semula kisah Kiyai Salleh, bukankah isterinya yang menguasai ilmu firasat yang menjadi perancang utama serangan-serangan yang dilakukan oleh pasukan selendang Merah Kiyai Salleh. Sehubungan itu jangan kita mudah melatah mengatakan bahawa ilmu ini bersalahan dengan agama dan sebagainya. Belajar dulu, kaji dulu, fahami dulu akhirnya buatlah penghakiman. Jangan menghukum sesuatu tanpa ilmu dan tanpa usul periksa. Oleh kerana kita tak tahu dan tak belajar, maka yang orang lain tahu dan belajar itu adalah salah. Wallahuaalam.
Insyaallah bersambung.

Monday, August 27, 2007

Ilmu Geroh, Warisan Melayu ibarat Berlian Segunung

Ilmu geroh adlah antara ilmu masyarakat Melayu yang amat bernilai sama seperti Feng Sui dalam masyarakat China. Ilmu ini bukan sahaja di amalkan oleh orang Melayu atau China tetapi juga Ulama-ulama Besar dalam sejarah Islam. Untuk menambah ilmu cuba baca kisah Imam Asshafei, bagaimana berpengaruhnya ilmu geroh atau firasat ini dalam kehidupannya. Ilmu geroh adalah ilmu yang berkait rapat dengan kehidupan manusia sehari-hari. Bersambung..

Makan gerak dalam gerak....sambungan

Pada masa kini terdapat banyak perguruan yang mengatakan mereka mengajar kaedah makan gerak dalam gerak. Daripada pengamatan saya hakikat ini adalah jauh panggang dari api. Tanda-tanda persilatan yang mengamalkan keaedah makan gerak dalam gerak antaranya ialah :

1. Pelajar tidak dibenarkan menggunakannya untuk bertanding atau menunjuk-nunjuk
2. Pelajar diajar secara khusus tempat seharusnya di pandang semasa sparring.
3. Diajar di tempat tertutup

Walau bahaimanapun apa yang saya tulis ini adalah pendapat peribadi saya dan tidak melibatkan mana-mana pertubuhan. Wallahualam.

Saturday, August 25, 2007

Latah.... satu pandangan.

Sifat latah dikatakan hanya milik orang Melayu dan ia dianggap unik. Penyakit latah apabila sampai ke tahap kronik akan membahayakan diri orang yang latah itu sendiri. Dari aspek silat latah boleh dilatih. Bermula dari tidak ada kepada ada sifat latah di dalam diri. Apabila ada sifat latah seseorang pesilat akan menjadi lebih pantas kerana pergerakannya adalah secara spontan. Latihan yang paling asas untuk meimbulkan sifat latah yang baik dan tidak merapu ialah dengan berpaling ke arah sesuatu benda yang berbunyi di belakang kita tanpa berbuat apa-apa tetapi di dalam hati kita katakan "pow" bunyi letupan atau pun kena pukul. Amalkan perbuatan ini. InsyaAllah akan lahir satu gerakan sepontan terhadap serangan lawan. Walau bagaimanapun gerakan -gerakan belaan dan serangan akan lebih bermakna apabila kita memahami gerak dan masak dalam pergerakan.

Friday, August 24, 2007

Kayu Kemuning Hitam

Kayu kemuning hitam merupakan salah satu spesies kayu yang mempunyai nilai perubatan yang tinggi. Ia digunakan antaranya untuk mengubati sakit perut dan juga menghilangkan bisa gigitan serangga. Mengikut pengalaman Ayah Ku ( Pak Ku Hassan Kangkung P.Mas) ia telah merendamkan tasbih kemuning hitammnya semasa berada diMekah bagi mengubati jemaah yang sakit dada dan batuk. Mengikut pengalaman saya sendiri ia amat mujarab bagi mengubati kesihatan perut, saya pernah terbaca satu kajian saintifik yang mengatakan bahawa enzim bewarna kuning yang terdapat dalam kayu kemuning hitam mampu mengembalikan kesihatan perut. Pada masa kini untuk mendapatkan stok kayu kemuning hitam tidak semudah dulu, walau bagaimanapun saya telah berjaya mendapatkan sedikit kayu kemuning hitam dan menyiapkan lebih 20 utas tasbih untuk dibahagi-bahagikan kepada kawan-kawan.

Thursday, August 23, 2007

Makan gerak dalam gerak....sambungan

Secara literalnya ia bermaksud kita menewaskan pergerakan atau serangan lawan melalui pergerakan lawan. Walau bagaimanapun dari segi praktikal ia tidak semudah yang diucapkan. Beberapa perkara asas perlu dipelajari terlebih dahulu, antaranya ialah mengenal dan memahami sifat-sifat pergerakan manusia. Contoh - Apabila hari nak hujan , maka tanda awalnya ialah langit menjadi gelap, ada ribut dan sekurang-kurangnya kambing akan mengembek. Begitu juga dengan pergerakan manusia , apabila mereka memasang niat sahaja untuk menyerang sama ada sedar atau tidak mereka telah memberikan tanda-tanda awal sama ada tumbuk , tendang atau lain-lain serangan. Yang membezakan pakar atau bukan seseorang itu dalam bidang persilatan ialah kebolehan mereka mengesan dan mematikan pergerakan musuh pada tahap tanda yang paling minima sekali. ( bukan semudah cakap) ... jumpa lagi

Wednesday, August 22, 2007

Makan gerak dalam gerak.. bagaimana?

Istilah ini sangat popular dikalangan pengamal-pengamal silat. Istilah ini menunjukkan satu tingkat ilmu persilatan yang agak tinggi. Walau bagaimanapun pemahaman istilah ini bukan dengan kata-kata sahaja. Rahsia makan gerak dalam gerak dijaga rapi oleh guru-guru tua. Mengikut pengalaman saya rahsia makan gerak dalam gerak tidak akan diajar kepada umum,di padang-padang atau dewan. Sebaliknya ia diajar secara khususi di tempat tertutup dengan berbisik di telinga murid-murid yang terpilih. Bayangkan betapa sulitnya martabat ilmu ini. ......sory saya ada kelas silat petang dan malam ini. Bersambung lagi.Insyaallah

Tuesday, August 21, 2007

Silat dan ilmu mengenal diri

Sampai bilakah kita akan bersilat. Ada yang menjawab sampai mati. Saya no komen. Bagi saya penamat dalam silat tidak ada tetapi penamatnya yang sebenar ialah apabila kita mula mengenal akan hakikat diri kita. Apabila ini berlaku maka bermulalah satu episod baru yang akan menyebabkan kita berasa sayang kepada silat yang sebenarnya menjadi kuda tunggangan kita untuk sampai kepada kebenaran yang sebenar. ( Yang bulat tak akan datang bergolek, yang pipih tak akan datang melayang)

Monday, August 20, 2007

Yang tua dikagumi yang muda dihormati

Pengembang seni silat Gayong Malaysia di Perancis. Saudara Hakim bergambar bersama Pak Ngah Izahar .
(Lokasi pusat latihan PSSGWSM Kelantan- rumah Cikgu Nasir)

Sembang Silat Bersama PakNgah Izahar

rutin latihan jurulatih-jurulatih goyong ialah pada malam selasa. Tapi pada minggu ini hujan turun dengan lebat sekali. Ramai jurulatih dan pembantu yang tewas awal dan tidak dapat hadir. Saya selaku tuan rumah pula tidak memaklumkan bahawa Pak Ngah Izahar akan bertandang ke tempat latihan. Topik sembang kami malam tadi ialah seni keris yang meliputi tapak, kuncian dan pentas. Di samping itu juga Pak Ngah memberi panduan cara-cara mengajar 'mat salleh' dan had-hadnya.

Dari kiri Nazmie (UKM),Abang Hassan (Bank Pertanian Bachok),Hakim (Perancis), Jamidi, Pak Ngah Izahar Batu Kurau, Saya dan Mail askar.

Sunday, August 19, 2007

Kaedah Tempur (sparring)

Untuk menjadi pesilat yang handal latihan sparring amat diperlukan. Biasanya pesilat gagal mengaplikasikan teknik yang dipelajari dalam latihan ketika sparring. Mengapa ini terjadi? Antara sebab perkara ini berlaku ialah :

1. Latihan sparring tanpa tunjuk ajar jurulatih yang berpengalaman.
2. Sparring sesama kawan berulang-ulang tanpa bertukar-tukar pasangan
3. Pesilat gagal menyerang dan berundur dalam tapak silat .
4. Kedudukan pesilat yang tidak sesuai iaitu tapak serangan yang tidak boleh digunakan untuk mengelak dari serangan lawan.
5. Tiada pedoman mengesan serangan lawan.

" Tajamkan mata hatimu nescaya tumpullah hati lawan"

Friday, August 17, 2007

Senaman Rutin


Sebelum memulakan latihan sebaik-baiknya lakukan aktiviti senaman memanaskan badan yang meliputi semua semua aspek senaman :

1. Kecergasan (kardiovaskular)

2. Kelenturan (regangan)

3. Kekuatan sendi-sendi

4. Senaman perut

Senaman - senaman ini hendaklah bermula sama ada dari kepala sampailah ke kaki ataupun dari kaki hinggalah ke kepala.

Masa untuk setiap senaman mestilah sekurang-kurangnya 16 bilangan atau pun lebih untuk mendapatkan kesannya.


Melentur buluh


Pendedahan awal kanak-kanan kepada silat boleh menanam rasa cinta kanak-kanak kepada ilmu pusaka Melayu. Sewajarnya kita pencinta silat berusaha menerapkan pelajaran silat kepada anak-anak sejak dari tadika lagi. Tahniah diucapkan kepada guru-guru tadika Kg Badak kerana komitmen mereka memperkenalkan silat kepada pelajar-pelajarnya tanpa rasa jemu.

Seni Kerambit

Kerambit/lawi ayam/kuku harimau merupakan senjata pendek yang sangat popular di kalangan orang Melayu dahulu. Permainan kerambit amat berbahaya kerana ia hampir tidak kelihatan kerana berada kukuh dalam gengaman. Pelajaran kerambit semakin pupus masa kini. Antara faktornya ialah kerana ia tidak terdapat dalam silibus umum. Sebaliknya ia diajar secara khusus bagi pesilat yang mempunyai ketekunan dan mendapat kepercayaan tinggi dari guru-guru tua untuk mewarisinya.

Kaedah pelajaran kerambit :

1. Gerakan asas kerambit - cara menyerang dan pergerakan serta sasaran beserta tapak

2. Buah kerambit

3. Pertempuran menggunakan kerambit di dalam kain sarung berpasangan.


Kelemahan kerambit :

- Mahaguru Gayong berpesan kepada mereka yang mempelajari kerambit seandainya musuh menggunakan cindai atau sebarang jenis senjata yang berfungsi semacam cindai maka simpanlah kerambit di dalam sarungnya.( Bahasa olahan penulis sendiri bagi menyampaikan maksud)

Thursday, August 16, 2007

Gayong - Silat sendi harimau

Kemanakah menghilangnya pelajaran sendi harimau dalam silat gayong pada masa kini. Ramai jurulatih muda hanya pandai berkata-kata tentang permainan harimau dalam gayong. Pada masa kini guru-guru tua yang masih aktif dan boleh mengajar sudah boleh dikira dengan jari. Korek dan galilah segala pelajaran yang terdapat pada mereka. Sesunguhnya guru-guru yang hebat bukanlah mereka yang ada 4 atau 5 dan black belt, tetapi guru yang hebat adalah guru-guru yang mewarisi ilmu gayong yang sebenar.

Ultimate warriors- Satu pandangan

Dalam pertandingan ultimate warriors kita melihat bagaimana pesilat-pesilat telah ditewaskan dengan begitu mudah sekali. Seolah-olah sistem beladiri yang terdapat dalam silat tidak efektif dan gagal menyaingi sistem beladiri lain terutamanya tomoi. Dari pengamatan saya terdapat beberapa faktor yang menyebabkan keadaan ini berlaku, antaranya ialah:
1. Kurang stamina
2. Terikut-ikut dengan gaya pertempuran silat olahraga
3. Pesilat masih lagi mentah dan tidak masak dalam kaedah persilatan sebenar
4. Pembantu gelanggang tidak memainkan peranan dengan baik.
6. Badan pesilat masih lagi dipenuhi lemak berbanding dengan ahli muay thai yang penuh dengan urat dan otot.

Sehubungan itu jika ada pesilat yang ingin menyertai kejuaraan ultmate warrior pada tahun hadapan, sewajarnya mereka berlatih sekurang-kurangya 2 bulan dengan pengawasan jurulatih yang berpengalaman. Pesilat juga mestilah berlari sekurang-kurangnya 8 kilometer sehari. Setelah stamina telah cukup barulah teknik-teknik pertempuran boleh diajar dan dapat digunakan dengan berkesan. Pesilat juga mestilah berlatih dan membiasakan diri dengan glove dan juga gelanggang yang menyerupai gelanggang sebenar.

Friday, August 10, 2007

Silat seiring dengan akhlak dan agama

Mengapa ilmu persilatan yang dimiliki oleh bangsa Melayu masa kini tidak dapat membentuk akhlak dan muslim yang baik bagi pengamalnya. Senario silat popular dan perlu mengikut peredaran zaman sebagai salah satu penyebabnya. Cuba kita perhatikan pergaulan bebas yang berlaku semasa proses pengajaran silat oleh kebanyakan jurulatih muda masa kini. Keadaan ini amat bertentangan sekali dengan kehendak agama dan roh silat itu sendiri. Amalan bertudung bagi pesilat perempuan juga tidak diambil berat. Ini akan merosakkan bukan sahaja pesilat malahan ilmu silat itu sendiri. Gelanggang yang mengabaikan soal akhlak, agama dan adab tidak akan mendapat berkat. Walaupun beratus medal dan pingat yang anda kumpulkan. Hidup ini hanya sementara, jadi manafaatkan silat untuk mendidik jiwa muda-mudi mengenal diri dan tuhannya. Wallahualam.

KUMPULAN GENDANG GEMALA KASTURI: Laporan Pertandingan Gendang Silat di Kelantan 07

KUMPULAN GENDANG GEMALA KASTURI: Laporan Pertandingan Gendang Silat di Kelantan 07

Saudaraku, saya bukanlah pakar dalam gendang silat, untuk makluman dan kalau boleh kita kongsi bersama pandangan seorang guru yang diiktiraf oleh dunia dalam muzik tradisional dari kelantan iaitu Cikgu Aswawi. Mengikut pandangan beliau akhir-akhir ini kita sudah gagal membezakan antara muzik silat dengan kesan khas( sound effect) menggunakan muzik dalam setiap persembahan silat. Kurangnya kefahaman di kalangan Hakim muzik silat juga yang telah memberilakan kemenangan kepada pasukan yang menggunakan kaedah "sound effect" yang akhirnya menyebabkan pasukan negeri-negeri lain mula menukar cara persembahan mereka. Wallahualam.

Sunday, August 05, 2007

Sampai bila harus berlatih

Sampai bilakah kita harus belajar silat. Dari alam persekolahan hingga tua bangka atau sampai kita sendiri tak tahu bila nak berhenti .Perlu diingat silat adalah sebahagian kecil daripada kehidupan . Manafaatkan displin ilmu persilatan dalam apa jua lapangan.