Semua itu adalah permainan dan pemanis rasa hidup ini. Ia bukanlah segala-galanya. Kalau ia ada, adalah. Kalau ia tak ada, tak adalah. Jangan jadikan ia satu agenda besar yang menyebabkan kita kehilangan sahabat di kalangan manusia. Kejarlah, carilah penyuluh jalan pulang...kerana keris, badik, zamrud dan kemuning emas tidak mampu menjadi penyuluh kegelapan jalan pulang kita.
Wednesday, February 29, 2012
Tuesday, February 28, 2012
Bersangka baik pada Allah
Sangkaan kita terhadap Allah tidak menentu, bila dapat habuan kita bersangka baik, bila habuan berkurangan kita bersangka buruk. Sedangkan pada hakikatnya Allah sentiasa berbuat baik pada kita. Buah di hujung dahan kadangkala lebih manis dan lazat isinya.
Monday, February 27, 2012
Ikatan
Semalam sempat sembang dengan seorang sahabat lama. Isi perbualan ialah ikatan antara guru dan murid. Bila menuntut mesti ada ikatan yang sohih dan jelas. Tanpa ikatan yang jelas, sekadar mendengar dan berceloteh tidak ke mana walaupun mengaji berpuluh tahun.
Sunday, February 26, 2012
Angan-angan
Apa yang kita lakukan dalam angan-angan kita tak melepaskan kita dari hukum syariat. Contohnya kalau kita mimpi solat, tak melepaskan kita dari solat fardu. Sama juga kalau kita mimpi pergi Mekah, tak menggugurkan fardu haji yang wajib ke atas kita. Kalau semuanya nak kita lakukan secara batin maka tak perlulah kita makan nasi, cukup sekadar hidu baunya sahaja.
Berkira
Ada orang terlalu berkira dengan diri sendiri..., nak suap ke mulut sendiri pun berkira. Ada orang berkira dengan anak bini, kalau dengan keluarga sepuluh sen pun berkira tapi dihabiskan di kedai kopi beratus-ratus ringgit tak pernah berkira. Ada orang terlalu berkira dengan gurunya, nak hadiahkan alfatihah setahun sekali pun susah, apatah lagi nak hadiahkan harta benda.
Friday, February 24, 2012
Silaturrahim
Ada insan yang boleh menundukkan besi, menundukkan binatang buas dan menundukkan makhluk-makhluk halus. Ironinya kita sukar untuk menundukkan nafsu malas, ego dan pelbagai lagi sifat mazmumah kita. Janganlah kerana dek besi sebatang kita berlaku kurang ajar dan biadap sesama manusia.
Thursday, February 23, 2012
Tumpul
Bila ia tumpul aku tak mampu berkarya... sekadar milihat sahaja laptop di atas meja. Nafsu berniaga juga turut tumpul. Itulah hakikat kehidupan. Allah yang merancang Allah jua yang menentukan
Wednesday, February 22, 2012
Saras Perut ular baru RM700 ( SOLD )
Tuesday, February 21, 2012
Monday, February 20, 2012
Sunday, February 19, 2012
Sembang-Sembang
Bersembang dengan guru tua... sepatah selidah yang dituturkan olehnya amat berharga. Apabila kita berbengkung hitam peringkat tinggi sepatutnya permainan kita lebih bagus daripada adik-adik yang berbengkung hijau dan merah, lebih-lebih lagi bila buat demo di tempat awam atau perhimpunan besar.
Friday, February 17, 2012
Thursday, February 16, 2012
Nasib...
Ketika berkunjung ke Singapura baru-baru ini saya teruja dengan kisah hidup seorang pemandu teksi berbangsa cina. Bersama beberapa sahabat kami bersembang tentang hidup dan kehidupan termasuk bagaimana beliau merancang dan menguruskan ekonomi hidupnya. Kesimpulannya ia begitu bijak merancang dan pandai mengambil peluang dalam pengumpulan aset. Kami tak putus-putus memujinya, tapi jawapan yang diberikannya berulangkali ialah semua itu ialah nasib dalam erti kata lain ialah takdir.
Tuesday, February 14, 2012
Rancangan..
Tuhanlah Maha Perancang dan Maha menentukan, sesekali kita berasakan kita juga bijak merancang. Perancangan kita sebenarnya berada dalam perancangan Allah s.w.t. Usah ditepuk dada mengatakan akulah hebat kerana kita hanyalah insan yang hina, fakir lagi lemah.
Monday, February 13, 2012
Bijok demo...
Ramai orang bijak, pandai, pintar dan cerdik. Semua ini kategori masyarakat kelas A. Tapi manusia yang paling bijak dan cerdik ialah mereka yang berusaha mencari jalan pulang kepada tuhannya melebihi perkara lain. Kita arif sejarah keris, asal-usul keris kita hafal dan fasih sebutan istilah-istilahnya, tapi bila masuk bab aqidah kita kantoi. Dalam kubur rasanya tak ditanya pula detail sebilah keris sampai pada jenis besi dan tukangnya. Apalah salahnya sesekali kita tukarkan topik keris dengan topik aqidah, ataupun sesekali kita pakat ramai-ramai mencari guru untuk memimpin tangan kita merintis jalan kembali kepada tuhan.
Lawi Ayam RM250.00 SOLD arifin kl
Saturday, February 11, 2012
Teguh berdiri
Walau apa pun yang berlaku, pegang kemas prinsip dan iktiqad kita. Kadangkala kita berasakan ia agak kelabu kerana hujjah dan permainan kata. Kembalikan kepada empunya diri dan jalan terus.
Friday, February 10, 2012
Jangan merungut
Merungut, bersungut. Tanda tidak puas hati. Pada siapa kita nak protes. Pada manusia..merekakah yang mengaturnya? Pada Tuhan... siapa kita untuk memprotes takdirnya. Teruskan perjalanan ini. Tundukkan kepala tanda malu kita kepada Allah. Terlalu banyak nikmat pemberian Allah kepada hambanya tapi masih lagi tak puas hati. Masyaallah.
Kau datang lagi....
Tak puas hati, marah, geram sesekali dengki datang menerjah. Datangnya bukan dari luar tapi dari dalam. Iman tu sesekali tebal dan sesekali menipis, biarkan ia berlalu bersama menghilangnya embun pagi. Jangan dilayan, anggaplah ia fitrah manusia.
Wednesday, February 08, 2012
Kerja
Apakah orang-orang silat memang banyak masa lapang. Terlalu banyak masa yang mereka gunakan untuk berhujjah dan berpolemik termasuk bertekak dan bergaduh terutamanya di alam siber. Untungnya tiada, yang dapat ialah musuh dan masam muka. Pesan saya pada anak-anak muda, jangan suka jentik-jentik orang, biarlah mereka nak naik ke langit dan terjun turun pun tak apa. Sebab yang naik dia, yang terjun pun dia. Kita apa susah, kalau kita guru silat, mengajarlah. kalau kita murid silat belajarlah. Kalau ada sahabat kita yang ilmunya tinggi, kita pakat ramai-ramai pergi belajar...sebab talipinggangnya hebat, itupun kalau dia sudi ajarkan. Usahlah ditambah lagi kecelaruan dalam dunia persilatan Melayu hari ini. Buatlah kerja masing-masing, jaga mulut jaga perangai. silap-silap kita terlebih nanti masalah lain pula yang timbul.
Kurang faham...
Apa yang dicari dalam dunia ini? Cari wang, cari teman, cari ilmu, cari jalan pulang.... yang paling penting carilah redha Allah. Jangan biarkan silat, keris, batu, kayu, glamour berada di hadapan. Nanti kita akan tersangkut. Dunia susah, akhirat lagi-lagilah susahnya.
Tuesday, February 07, 2012
Pulau pandan
Wanginya budi sahabat-sahabat tak terucap oleh perkataan. Wang ringit bukanlah taruhan dalam persahabatan. Ikhlas, jujur dan reda atas ketentuan perjalanan menuju Allah merupakan bekal yang tiada tandingan.
Tiada apa-apa
Teringat kata-kata seorang guru tua apabila ditanya perihal anak-anak muridnya. Jawapannya mudah sahaja, "dia tu tak ada apa-apa", tanyalah berapa kali pun jawapannya tetap sama "dia tak ada apa-apa". Selepas berbelas-belas tahun barulah saya faham, apa yang dikatakan guru itu memang betul dan tepat kaedahnya, manusia memang tidak punya apa-apa. Hina daif, fakir dan lemah.
Monday, February 06, 2012
Syukur
Allah telah memudahkan hidup hambanya. Setiap ujian adalah proses kenaikan pangkat dan taraf seseorang. Bergantung kepada kita untuk menerima dengan hati redha atau bersungut atas apa yang berlaku. Namun takdir tuhan tetap akan berlaku, sama ada kita redha atau tidak. Kalau kita redha hati tenang, namun kalau kita tidak redha atau tidak berpuas hati ia akan merosakkan diri sendiri. Membujur lalu melintang patah
Saturday, February 04, 2012
Menanam pokok berduri
Zaman budak-budak suka mendengar orang tua bercerita pada waktu malam, dalam cerita penglipur laranya ia sempat berpesan agar jangan menanam pokok berduri di laman rumah takut-takut memakan diri. Baru kini saya faham bahwa bila kita tahu manusia itu tak boleh pakai usahlah kita bawa balik ke rumah sebagai sahabat atau tetamu. Kerana manusia jenis ini dia makan, dia minum di rumah kita, tapi akhirnya dia kencing dan berak pada kita.
Friday, February 03, 2012
Pertanyaan...
Saya suka menadah telinga mendengar tukang-tukang sembang bab tasauf, wow..hebat sungguh sampai tinggi nada suaranya kerana terlau bersemangat. Habis cuci dikeluarkan apa yang ada di dalam dadanya. Ketika sahabat sedang semangat bersyarah jangan kacau atau ganggu, angguk sahaja, agar ia tambah semangat. Bila dah letih ambo pon tanya satu soalan mudah, "lagu mana kita nak beramal dengan hak mu dok kecek tadi?" . Dia diam, ambo pon diam. Masing-masing buka langkah, bersurai. ( cerita ini rekaan semata-mata, tidak kena mengena dengan yang sudah meninggal dunia, hanya ingatan untuk yang masih hidup )
Kembalikan pada yang Ada....
Kadang-kadang kita terlalu ghairah membesar-besarkan sessuatu yang diluar himgga terlupa kehebatan yang di dalam. Jarang-jarang kita mengembalikan sesuatu perkara kepada Empunya perkara. Begitu juga dengan ilmu, halakan ke dalam untuk membaiki diri sendiri bukan mencari buruk orang.
Thursday, February 02, 2012
Terpesong
Jangan dihanyutkan oleh permainan hobi kita. Biarlah sekadarnya sahaja. Jangan sampai besi menguasai hidup kita. Jadilah mereka yang berserah kepada Allah sepenuhnya. Jangan ditaklidkan pada keris sebab dan musabab baik buruk dalam kehidupan. Tipu daya syaitan boleh datang kepada kita dalam pelbagai bentuk. Jin, syaitan dan hantu ada di mana-mana sahaja, tetapi ia tidak memberi bekas melainkan dengan izin Allah. Jadi terus pada Allah jangan singgah-singgah lagi.
Isi dan mengisi
Isilah dada anak-anak dengan ilmu Alquran, jangan asyik mengisi Alquran ke dalam keris dan badik sahaja. Keterlaluan memuja keris boleh memudaratkan Aqidah, walau pada zahir tidak berbekas.
Wednesday, February 01, 2012
Syukur
Alhamdulillah kekalutan kerja beberapa hari sudah mula reda. InsyaAllah jadual kerja saya kembali normal. Terima kasih pada sahabat-sahabat yang setia menatap blog saya yang tak seberapa ini.

