Jangan cuba merosakkan nama baik dan anggapan orang selama ini kerana hanya beberapa ratus ringgit. Tektik dan teknik tak senonoh dalam urusan jual beli hendaklah dielakkan. Sayangi diri sendiri. Tak berbaloi untuk kita membeli beras dan ikan dengan duit yang tak jelas bagi disuap dalam mulut anak-anak dan isteri.
Monday, October 31, 2011
Sunday, October 30, 2011
Lok 7
Lahirmu ibarat keris
Lok 7 sepuh separuh
Besi asal kimpal berpintal
Besi baru baja di tengah
Puting pulas cucuk di hujung
Gagak lapar terbang rendah
Pesan ayah,
Bila dewasa tempakan sebilah
Lok 17 temani aman
Lok 13 penunjuk jalan
Lok 3 kejap pegangan
Lok 1 hakikat insan
hakikat diri rahsia besi
Lok 7 sepuh separuh
Besi asal kimpal berpintal
Besi baru baja di tengah
Puting pulas cucuk di hujung
Gagak lapar terbang rendah
Pesan ayah,
Bila dewasa tempakan sebilah
Lok 17 temani aman
Lok 13 penunjuk jalan
Lok 3 kejap pegangan
Lok 1 hakikat insan
hakikat diri rahsia besi
Saturday, October 29, 2011
Kerja terganggu
Kerja-kerja tukang sampir agak terganggu kebelakangan ini. Cuaca yangf tidak menentu menganggu proses pengeringan varnish pada sarung. Namun tukang masih juga berusaha sedaya upaya dan menggunakan pelbagai helah seperti meletakkan sarung dekat dengan api dan juga penggunaan alat pengering rambut. Usaha murni untuk menyara anak dan bini.
Friday, October 28, 2011
Sepuh menyepuh
Istilah sepuh dalam kamus dewan bermaksud mengeraskan besi dengan membakarnya dan kemudian mencelupkannya ke dalam air. Tukang-tukang yang terlibat dalam pembuatan logam biasanya arif dengan istilah ini. Saya biasa melihat bagaimana tukang-tukang menyepuh sendiri peralatan pertukangan mereka. Ketajaman sesebilah pisau bergantung kepada jenis besi, baja dan kemahiran menyepuh. Pelbagai kaedah sepuhan dilakukan oleh tukang-tukang untuk menajamkan pisau, parang dan keris. Namun kepakaran seseorang adalah berbeza-beza. Seringkali kedengaran suara-suara sumbang yang mengatakan tukang keris Melayu masa kini tidak ada lagi yang boleh menyepuh. Jangan mengarutlah...
Thursday, October 27, 2011
Virus
Ini bukan cerita virus yang makan manusia, tapi virus yang makan saya punya laptop. Hari ini dia buat hal lagi, terpaksa pinjam laptop bini untuk update blog. Tapi virus ini kurang bahaya berbanding virus yang merosakkan hati dan martabat nafsu kita. Dengki, khianat, tamak adalah virus yang boleh merosakkan diri sendiri.
Jangan mengaku
Tidak semua perkara kita tahu buat. Ada tukang boleh buat parang dan golok tapi tak boleh buat keris. Ada orang boleh buat keris tapi tak cantik pula bila buat sarung. Ada orang tak reti buat apa-apa tapi boleh berniaga keris. Tapi jangan sesekali kita mengaku buat itu ini yang kita tak boleh buat kerana ia akan mengaibkan dan menyusahkan diri sendiri.
Wednesday, October 26, 2011
Tuesday, October 25, 2011
Friday, October 21, 2011
Thursday, October 20, 2011
Jenis
Manusia ada pelbagai kategori. Ada yang suka bercakap, semua isu dia tahu dan pakar. Tak ada ruang yang dia tak tahu, melainkan tahu semuanya. Ada juga manusia yang tahu tapi buat-buat tak tahu, diam, suka mendengar. Ada juga yang tak tahu apa-apa tapi bercakap tak berhenti , pagi petang dan malam. Entah apa-apa yang dicakapkannya. "Pah nak buat lagu mana?"
Ilusi
Kita takut dikuburan pada waktu malam, ketakutan sebenarnya pada kegelapan, bukan pada kuburan. Kita takjub melihat keris kerana antik dan mistik, ilusi kita terhadap keris kerana cerita dan tahyul boleh menyebabkan kita senang perbodoh-bodohkan.
Wednesday, October 19, 2011
Ganas...
Ambo sering tersenyum seorang diri melihat lagak ganas anak-anak muda, cakap ganas lagak pun ganas. Pantang tersinggung sedikit semua orang nak di balun, tapi tak pernah balun pun. Kata orang-orang tua kalau kita dah balun dengan mulut maka takat tu sahajalah balungnya. Nasihat saya jadilah orang baik-baik. Simpan sifat ganas, gedebe, samseng, pahlawan, pendekar kita untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara suatu hari nanti, bukan untuk riak dan ego sendiri.
Hati dan hati-hati
Menjaga hati daripada syirik kepada Allah bukanlah sesuatu pekerjaan yang mudah. Syirik bukan sekadar pada sembahan tetapi pada percakapan serta perbuatan. Tidak ada perkongsian dalam sebarang cara atau kuasa. Lahaulawawala kuwatailla billa hil aliyillaziim. Tiada lagi tolak ansur dan lapik-lapik. Mutlak dan jazam.
Tuesday, October 18, 2011
Badik Berpamor RM250.00
Jangan marah pada rezeki...
Rahsia aturan Allah tidak kita ketahui. Kadangkala rezeki kita merangkak-rangkak untuk datang, lambat, bertangguh-tangguh, banyak halangan, janji tak ditepati dan pelbagai karenah lagi. Kenapa? Sebabnya ialah rezeki itu besar, lumayan dan banyak.Kalau kecik senang sampai. Kalau kita marah sebab dia lambat, mungkin dia merajuk dan tak mahu datang lagi. Jazakallahukhairan kathiran.
Monday, October 17, 2011
Badik pupuk berpamur RM260.00 ( SOLD )
Sunday, October 16, 2011
Salah letak...
Jangan sesekali kita meletakkan kerakusan nafsu serakah kita bersama-sama dengan perjalanan ilmu mengenal diri. Ramai yang keliru apabila meletakkan semua kemalasan dan kerakusan sebagai helah bela diri. Mengenal tanpa beramal dengan kebaikan umpama jutawan yang tidak berharta,setiap perlakuan ada balasan. Jangan papa didunia papa jua di sana.
Saturday, October 15, 2011
Mana mahu lari...
Sehebat manalah kita di bumi Allah ini. Hidup dalam masyarakat ada aturannya, jika kita langgar aturannya untuk kita dapatkan sesuatu yang bukan hak kita, kita mungkin akan kehilangan sesuatu yang pernah kita miliki suatu waktu dahulu. Itu juga adalah aturannya.
Pesanan....
Pesanan orang yang arif pada saya dan anak buah " biarlah kita merendah diri, biarlah kita duduk mencangkung sekalipun". Dengar senang, nak amal payah. Semoga ada manafaatnya untuk panduan kita dalam perjalanan.
Kosong tak terhitung
Dalam perjalanan yang jauh, ramai yang tak dapat bertahan. Apatah lagi perjalanan yang tidak pernah menjanjikan apa-apa. Ketika manusia sibuk mengisi kantung, perjalanan menuju puncak ini sibuk mengeluarkan satu persatu dari kantung agar semakin dekat semakin ringan dan akhirnya kosong tak terhitung.
Friday, October 14, 2011
Tak beres....
Memilih kenderaan yang bagus untuk meneruskan perjalanan amat perlu. Stering bagus, tempat duduk bagus, aircond pun ada. Minyak dah diisi penuh, pemandu pun bersemangat malangnya tayar pula tak ada. Macam mana mahu jalan.
*bereskan syahadah dan sifat 20
*bereskan syahadah dan sifat 20
Thursday, October 13, 2011
Perhatian untuk sahabat di Sarawak
Kepada seorang sahabat yang telah mengirimkan beberapa bilah parang kepada saya untuk dijual suatu waktu dahulu, harap dapat hubumgi saya kerana saya kehilangan nombor handphone tuan. Terima kasih
Serahkan segalanya
Hamba tidak memiliki apa-apa, kosong. Kekasih pula berkorban segalanya. Apa lagi yang ada, tiada lagi dakwa, tiada lagi pengakuan, tiada lagi pengharapan. Pulangkan semuanya kepada yang empunya hak. Kosongkan sekosong kosongnya. Tik tak zat
Tukang sembelih
Pisau perlu tajam, hati mesti keras. Sembelih haiwan kira oklah. Tapi yang tak tahan kita sembelih kawan-kawan menggunakan pisau yang tumpul. Menggelupur bila sesekali terkena.
Rosak....
Jangan sesekali kita tabur pasir dalam periuk tempat kita tumpang makan nasi. Mungkin hari ni kita kenyang, ada makanan lain. Mana tau esok lusa kita berhajat pula untuk tumpang sarapan atau makan tengahari. Kadang-kadang kerana terlalu bijak banyak rencana dan rancangan kita aturkan untuk menjerat diri sendiri. rumitnya rancangan yang kita aturkan sampai berbelit-belit strateginya, tapi yang anehnya tukang rencana yang terbelit dan terjerut.
Wednesday, October 12, 2011
Sesekali singgah
Sesekali singgah di "port" , pelbagai ragam suka duka hobi membeli dan menyimpan barang antik dan senjatata warisan boleh dikongsi bersama. Semalam ambo sempat singgah sebentar di "parking KB". Cerita yang boleh dikongsi ialah panggilan adik, abang, ayah dan macam-macam lagi. Semua panggilan tadi adalah umpan untuk menjual barang rupanya. Lembut gigi daripada lidah, akhirnya yang mampu diucapkan ialah " biarlah nak buat lagu mano" .
Monday, October 10, 2011
Sunday, October 09, 2011
Saturday, October 08, 2011
Pakat ramai-ramai....
Lumrah bersahabat, jika sahabat kurang elok kita elokkan dengan teguran. Jika ia terlajak kita undurkan. Banyak sahabat rosak kerana termakan pujian . Sahabat pula ingin jaga hati dan ingin kelihatan seperti sahabat sejati. Membunuh sahabat dengan cara memuji bukan sifat terpuji.
Badik berpamor RM250.00 ( SOLD )
Thursday, October 06, 2011
Berguru dan buruan
Dalam berguru banyak helah dan karenahnya. Ada guru yang mengambil kesempatan apabila ada peluang. Anak murid dijadikan sebagai bahan buruan untuk habuan wang. Atas nama ilmu dan leluhur wang disedut ke dalam kantung guru.Biasanya anak-anak murid akan dimomok-momokkan dengan pelbagai pantang dan peraturan. Atas nama ilmu juga fikiran anak-anak murid akan dibelenggu dan dijumudkan. Apa yang berada di luar lingkungan perguruasn adalah tak betul dan menyeleweng. Celik mata luas-luas agar gajah depan mata tak melanggar kita dan habuk di seberang lautan biarlah ia beterbangan dan menghilang
Menetapkan haluan
Haluan yang benar adalah matlamat dalam hidup. Walaupun perjalanan penuh liku dan cabaran, haluan mesti sentiasa diperbetulkan. Usahlah kita disibuk-sibukkan dengan perkara remeh temeh di sepanjang perjalanan, anggaplah dugaan dan ujian-ujian kecil itu sebagai pemanis rasa. Usah kita menjeruk rasa mengenangkan perbuatan-perbuatan khianat sesama insan, itu semua tak ke mana. Yang pasti hidup dan perjalanan ini mesti diteruskan sebelum kita dipanggil kembali.
Waspada...
Dalam kegahairahan kita untuk melestarikan warisan budaya kadangkala kita tersalah langkah. Kita lestarikan semua sekali pakej yang ada, kita lestarikan juga khurafat dan tahyul bersama-sama keris. Keris tak rosak, budaya juga tak rosak, yang rosak ialah tauhid dan aqidah kita. Berati-hatilah, kerana di dalam kubur kita tidak dibekalkan dengan keris-keris dan khadamnya sekali.
Tuesday, October 04, 2011
Cakap tak rasa
Ramai orang suka bercakap soal yang tinggi-tinggi, begitu begini. Ini pengalaman si anu, ini pula pengalaman si ani. Ini cerita Hallaj, ini pula cerita Rabiatul Adawiyah. Bukan begitu caranya kalau nak belajar atau mencari jalan hakikat. Cari guru, kurangkan bercakap dan kurangkan menyakat. Halaj dan Rabiataul Adawiyah ada cerita mereka, itu takdir dan qadar ilmu mereka. Sekarang sukat dan hitung pula qadar ilmu kita. Semoga tidak terpedaya kerana banyak membaca dan mencerca.
Pos barang
InsyaAllah barang-barang tempahan sahabat akan diposkan hari ini.
* Teknik menjawab STPM SMK PUTERA di Sudara Beach Resort bermula 4hb Oktober - 6 hb Oktober.
* Teknik menjawab STPM SMK PUTERA di Sudara Beach Resort bermula 4hb Oktober - 6 hb Oktober.
Jalan masing-masing
Bersihkan jalan kita, luruskan jalan kita. Asahlah parang dan tajak untuk menebas lalang dan semak di tanah kita. Semoga perjalanan kita lebih mudah dan terurus. Ujian untuk seseorang hamba Allah tidak sama antara satu sama lain. Jadi tak perlu kita sibuk-sibuk untuk tolong jawabkan soalan peperiksaan orang lain, jawab dulu soalan sendiri.
Monday, October 03, 2011
Dalam putih ada hitam
Terima kasih tak terkira saya ucapkan kepada seseorang yang telah memberikan saya ingatan dalam perjalanan. Katanya " cikgu,di sesetengah tempat walau sealim manapun dia tetapi terselit juga unsur hitam. Ada jua yang bawa dua aliran, carilah tempat yang molek untuk mengaji".
Moralnya, beradalah pada jalan yang lurus walaupun tidak hebat.
Moralnya, beradalah pada jalan yang lurus walaupun tidak hebat.
Saturday, October 01, 2011
Antara tahu dan tak tahu
Usah berpura-pura tahu apa yang kita tak tahu. Jika ada insan yang sudi mengajar atau membuka rahsia ilmu pada kita usah kita berlagak seolah-olah kita sudah pun tahu. Ibarat menuang air ke dalam gelas, jarang sekali air dapat masuk jika gelas atau cawan lebih tinggi daripada teko.




































