Jangan mudah nak meyampuk cakap orang. Dengar dulu, tapis2. Kalau setuju angguk-angguk kalau tak setuju pun angguk-angguk. Jangan disiram minyak jika api dah mula menyala.Jika kita tak tahu hujung pangkal sesuatu cerita usah sibuk-sibuk memeningkan kepala untuk turut serta dalam kemelut. Kalau ada banyak masa free, lebih baik baca quran, bertukang atau tidor.
Utamakan diri dahulu sebelum kita sibuk untuk membetulkan orang lain. Ilmu yang ada di dada kita bukan untuk menghentam orang lain, sebaliknya ia untuk kita praktikkan. Ramai orang pandai dan boleh menjadi tiong emas untuk menghentam orang lain, seronok. Ironinya lihatlah akhlak dan perilaku pekerjaan tiong-tiong emas tadi. Zaman akulah hebat, akulah pandai dan akulah gedebe sudah lama berlalu. Zaman ini orang lebih minat pada "dia berhemah, prihatin, tulus dan berbudi luhur". Orang pandang pada budi bukan pada body.
Istiqamah sebenarnya amat sukar. Dalam perjalanan, seringkali kita gagal apabila diuji dengan kesenangan. Semakin kita senang semakin jauh kita meninggalkan landasan. Apakah tuhan untuk diingati semasa kita susah? Namun perlu diingat dalam pengajian ilmu mengenal diri yang kita jumpa hanya kosong dan hampa, iaitu syukur dan redha. Jika jumpa selain itu berhati-hatilah.
Seringkali saya dikunjungi oleh sahabat-sahabat yang menghadapi masalah dalam kehidupan. Antara masalah yang lazim ialah masalah hidup tidak tenteram dan sakit-sakit. Mereka mengadu terkena buatan orang serta diganngu oleh makhluk halus. Nasihat saya pada sahabat ialah susah untuk mengejar dan memburu kambing yang nak masuk dalam kebun pisang kita. Sebaiknya kita menyiapkan pagar dengan baik dan kemas, kalau patut tinggi, tinggikan. Kalau patut berduri, carilah kawat berduri. Semua itu adalah ujian Allah terhadap kita agar ingat kepadanya, dalam berubat kadang-kadang kita dapat ilmu yang bermanafaat. Ujian Allah untuk hamba yang disayangi agar naik darjatnya.
Belajar silat, main silat, sembang silat, foto silat, berjalan silat, lagak silat, menulis silat, tidur silat. Sebaiknya bila makan kena makan nasi jangan makan silat.
Bola kalau tak ada angin tak seronok ditendang. Layang-layang kalau tak ada angin tak akan terbang. Manusia kalau tak ada "angin" memang lesu. Namun dalam amalan, sebaiknya jangan dihembus keluar tetapi ditekan ke dalam. Angin oh angin.
Jangan kita terlalu ghairah apabila berada dalam kelompok ramai, ramai tidak semestinya benar. Kadang-kadang kita terikut-ikut kerana melihat bilangan dan kita sandarkan keimanan kita dengan keimanan mereka. Tidak semua amalan leluhur boleh kita ikuti, tapis-tapis dahulu. Kalau begitulah cara kita beragama nescaya gembala akan mengikut kambingnya.
Tidak berguna kitab-kitab tebal jika tak dibaca dan diamalkan kandungan ajarannya. Kitab-kitab tidak akan disoal oleh Munkar dan Nankir. Begitu juga bagi mereka yang berasakan dirinya dalam perjalanan ilmu hakikat dan makrifat, mampukah kita aplikasikan apa yang ada dalam buku catatan kita dalam kehidupan seharian. Kita belajar erti yakin, ainul yakin dan haqqul yakin tapi bagaimana kita nak aplikasikan ilmu yakin yang kita kita lagukan di atas-atas wakaf dan kedai kedai kopi dalam kehidupan seharian kita.
Pangkalan terakhir kita di dunia ini ialah kubur. Menarilah dengan tarian apa pun bila sudah sampai masanya kita mesti kembali jua. Semoga kita tahu mana hak kita, mana hak kawan dan mana pula hak Tuhan. Hidup ini tidak rumit, ikut aturan dan berani mengaku kesilapan kunci kita dihormati kawan dan lawan. Jika kita di hadapan jeling-jeling juga ke belakang, takut-takut kita jalan sendirian.
Dalam pergaulan seringkali kita ketemukan kawan-kawan baru, kadangkala kita terlajak cakap tentang isu-isu yang kita sebenarnya kurang arif. Sekadar berkongsi pengalaman, pernah terjadi satu peristiwa sembang kedai kopi, alangkah aibnya bila seorang sahabat bercakap isu sebuah institusi di hadapan bos besar institusi berkenaan tanpa mengenalinya. Bayangkan berapa banyak "labun" yang menggelikan hati telah tersembur keluar. Bayangkan berapa tebal muka sahabat itu bila hanya mengetahui keadaan sebenar tiga hari selepas itu.
Terlalu berterus terang kadang-kadang boleh membodohkan diri sendiri. Untuk apa kita beriya-iya menghurai dan memberikan hujah pada orang yang tidak berminat pada sesuatu, mungkin kita rasa tanggungjawab kita untuk berdakwah. Tapi perlu diingat tidak semua benda boleh di uar-uarkan. Kalau isi dibawa keluar tanpa dilindungi kulit biasanya ia cepat masam dan berubah warna. Kerana ghairah nak bercakap akhirnya kita sendiri menanggung mudarat. Kalau kita isikan dada kita dengan ilmu nescaya ia akan melimpah dan mengalir sendiri tanpa perlu bertegang leher.
Alkisah seorang guru tomoi yang sedang meningkat naik, teamnya sedang menempa nama di negeri Cik Siti Wan Kembang, dalam satu pertemuan dengan gurunya (guru silat) beliau bertanyakan petua untuk tahan pecah/luka semasa berlawan terutamanya pada bahagian muka. Setelah diajarkan oleh gurunya secara ringkas petua-petuanya maka beliau mula mempraktikkan pada setiap perlawanan. Hasilnya cukup memuaskan, anak-anak muridnya menjadi sangat ghairah dan berkeyakinan tinggi, apa tidaknya kena siku sampai 15 kali kat muka pun tak apa-apa. Keadaan ini berlangsung hampir 6 bulan. Tapi panas tak ke petang, akhirnya anak buahnya luka juga terkena siku pada perlawanan. Guru tomoi tadi mencari gurunya dan bertanya, kenapa dan apa silapnya. Jawab gurunya, inilah pengajaran berharga dalam hidup, jangan mengharapkan pertolongan selain dari Allah. Jangan takbur dan jangan pula berlebih-lebihan.
Senyum dan tidak perlu kata apa-apa. Itu lebih baik. Kadangkala kerana kita suka bercakap, perkara yang kita tak pasti, tak tahu dan memang kita tak mungkin tahu pun kita bercakap seolah-olah kita tahu. Kencing berak kita sendiri pun masih banyak yang tak terurus, jadi tak perlulah kita sibuk-sibuk nak tolong bersihkan tandas awam.
Kadang-kala banyak soalan yang diajukan oleh teman-teman adalah untuk menguji. Pernah sekali saya ditanyakan oleh sahabat permata jenis apakah yang beliau pakai. Jawab saya mudah sahaja, kalau nak uji saya, sebenarnya saya tak pandai dalam bab-bab seperti ini, sebaiknya tuan ajar dan bimbinglah saya.
Pencarian jalan pulang dipenuhi pelbagai rintangan. Rintangan dalam bentuk musibah senang dikesan dan diatasi. Malangnya ramai yang sangkut dengan kelebihan dan keistimewaan. Orang-orang arif selalu berpesan jangan melekat pada tangga untuk naik ke atas. Kalau kita tak sudah-sudah membilang anak tangga, dan kagum dengan rupa corak tangga yang berukir maka kita akan menjadi pengumpul tangga dan lupa untuk terus memanjat. Jangan pula jadikan kesenian tangga sesuatu yang tak habis-habis dipelajari dan dibahaskan sampai mati.
Maaf dipinta kepada sahabat-sahabat kerana tukang-tukang ramai yang masih lagi beraya. Ada juga yang demam kerana makan ketupat dan tapai berlebihan. InsyaAllah minggu depan semua tukang akan beroperasi seperti biasa.
Memindahkan beban tanggungjawab kita ke bahu orang lain memang mudah, cuma pindah dengan mulut sahaja. Setiap kejadian ada hikmahnya, musibah yang melanda sepatutnya kita ambil iktibar dan merenung, menyorot kembali perihal diri. Jangan sesekali melihat dan menuding jari pada orang lain. Ke mana tumpah kuah kalau tak ke nasi
Dalam pergaulan kalau kita terlalu suka berada di tempat tinggi, akhirnya tidak ada orang yang nak mengangkat kita kerana tak sampai tangan. Kalau kita merendah diri dan suka berada di bawah, mudah untuk kawan-kawan tolong angkatkan. Kalau kita panjat sorang-sorang, jatuhpun seorang diri. kalau naik diangkat, insyallah jatuh bersambut.