Dalam bahasa yang lebih mulus ialah antara berilmu atau tidak. Ilmu Allah Taala Maha Luas, tidak terjangkau oleh kudrat dan akal manusia. Lantaran itu tidak semua perkara kita tahu ( berilmu), tidak semua hal kita arif. Jika ditanya tentang bidang yang kita tidak arif, sewajarnya kita katakan bahawa kita tidak tahu, jangan pula buat-buat tahu, nanti dapat malu.
Sunday, October 31, 2010
Keris Selit Lok 7 berpamor RM600.00
Esok pos barang....
Maaf kepada sahabat-sahabat, Kelantan cuti hari ini, InsyaAllah esok semua parcel akan dioskan.
Seronok bila ada yang sudi...
Cuti hujung minggu saya habiskan dengan mengadap sifu besi. Terima kasih kepada sifu kerana sudi mengajar saya mengenal besi. Terasa hati berbunga bila ada yang sudi mencurahkan ilmu yang amat berharga. Sains, teknologi, pengalaman serta kebijaksanaan menjadikan ilmu besi bukan sekadar mistik dan retorik samata-mata.
Thursday, October 28, 2010
Pasang surut
Kadangkala ilham datang mencurah-curah, pelbagai perkara boleh ditulis. Kadangkala ilham tak muncul-muncul, tak ada apa yang nak ditulis. Ilham bukan boleh dipaksa-paksa. Begitu juga perasaan, ia pelbagai. Ada gembira, sedih, marah, keciwa dan seringkali tidak puashati. Walau apapun yang dirasai, ia adalah kerana "hidup".
Lautan mana yang tak bergelora..
Bumi mana yang tak ditimpa hujan. Itulah pepatah Melayu yang menggambarkan kehidupan manusia yang tidak sunyi dari masalah. Masalah adalah teman akrab bagi manusia. Jika tidak ada masalah dan tidak ada lagi tanggungjawab maka tugas kita di muka bumi ini sudah tamat, sepatutnya kita tidak perlu lagi berada di sini.
Wednesday, October 27, 2010
Jaga-jaga....
Hobi adalah satu juzuk dalam kehidupan. Peratus kepentingannya terletak kepada kita untuk menentukannya. Jika kepentingannya mengatasi kepentingan-kepentingan lain terutamanya keluarga maka ia boleh membawa bencana. Jadi berpada-padalah, jangan sampai lupa diri dan lupa kita akan mati.
Yang merah itu saga.....
Yang indah itu bahasa dan yang cantik itu budi. Dalam masyarakat Melayu cantuman antara budi dan bahasa merupakan intipati dalam perhubungan.
Keris Alang RM650.00 SOLD
Tuesday, October 26, 2010
Kerja sikit letih banyak
Bila usia semakin lanjut, kerja sedikit yang dibuat tetapi letih yang banyak. Saya masih lagi dalam "mood berehat" kerana kesibukan awal minggu ini sempena pertandingan keris. Walaupun tidak terlibat secara langsung dengan pertandingan keris, bahang kesibukan tetap terasa kepada saya. Alhamdulillah pertandingan keris anjuran PURBA Kelantan bejalan lancar.
Monday, October 25, 2010
Friday, October 22, 2010
Tak sempat...
Thursday, October 21, 2010
Aku dan Dia..
Ramai yang selalu melagukannya, kadang-kadang nampak benar rindunya. Kadang-kadang hanya bisa melagukan, jarang benar yang ketemukan. Aku lihat aku, aku lihat Aku, dan seringkali hanya aku lihat aku. Kata-kata ini bukan untuk dilagukan, tetapi untuk dinikmati. Menikmati pula bukan dengan kata-kata tetapi dengan rasa dan pengalaman dengan mata.
Pedang Melayu RM350.00 ( ON HOLD )
Wednesday, October 20, 2010
Syukur......
Kesibukan kita dalam menjalani kehidupan moden kadang-kadang menjadikan kita seolah-olah makhluk asing dalam komuniti kampung atau kawasan yang kita huni. Kerja hakiki dan kerja yang sengaja kita cari menjadikan masa 24 jam sehari semalam tidak mencukupi. Sesekali jenguk dan bertanya khabar jiran lebih afdal dari tidur dan memerap di hadapan tv. Bersyukurlah kerana kita masih ada jiran baik. Kita juga adalah jiran kepada jiran kita. Soalnya, adakah kita jiran yang menyenangkan jiran.
Tuesday, October 19, 2010
Cara kita...
Seringkali kita hanyut dalam tempurung kita sendiri. Sesekali jenguklah dalam tempurung orang lain. Mungkin guru kita hebat, tetapi sesekali lihatlah juga kehebatan sahabat guru-guru kita. Sesuatu perkara atau ilmu sukar untuk dinilai jika tidak ada perbandingan. Ketika masih muda berjalanlah untuk menuntut ilmu, bila tua dan matang dalam ilmu menetaplah untuk beramal.
Tamat Tugas
Pejam celik, rupanya sudah 5 tahun saya berkhidmat sebagai tenaga pengajar sambilan di Polytech Mara Kota Bharu. Berakhirnya semester ini maka tamatlah khidmat saya secara rasmi untuk Subjek HKB 118 dan HKB 228. Terima kasih kepada sahabat- sahabat tenaga pengajar, pihak pengurusan dan juga pelajar-pelajar yang memberikan kerjasama baik selama berada di Polytech. Salah dan silap di pihak saya, mohon ampun dan maaf.Monday, October 18, 2010
Bersama Tukang Perak Tersohor Negeri Kelantan
Pesanan sebelum bertukar.....
Ini kisah lama. Kisah seorang kawan yang sering dilabel tidak siuman dan tidak waras, seringkali cakap-cakapnya dianggap merapu dan mengarut. Apabila sahabat ini telah mendapat surat pertukaran tempat kerja ia telah berpesan kepada sahabat-sahabat tempat kerja lama dalam sehelai kertas yang ditulis dengan huruf-huruf besar : " SEMUA MANUSIA BERADA DALAM KERUGIAN KECUALI MEREKA YANG MENGINGATI MATI DAN BERAMAL UNTUK MENGHADAPINYA".
Terima kasih sahabat.
Terima kasih sahabat.
Antara Qadim dan muhadas
Dalam pengajian ilmu tauhid, kita diajar yang mana Qadim dan yang mana muhadis. Dalam erti kata lain yang mana bersifat kekal dan yang mana bersifat baru. Kurang pengetahuan dan penjelasan seringkali menyebabkan anak-anak muda keliru. Cara mengatasinya yang paling mudah ialah dengan belajar dan berguru. Bayangkan, jika kita boleh berbangga dengan novel-novel tebal karya penulis tersohor, mengapa tidak kita beli, baca , mentelaah dan mendalami kitab-kitab tauhid serta berguru dalam soal aqidah.
Sunday, October 17, 2010
Mengelegak..
Kadang-kadang hati kita mengelegak dan mendidih, biasanya kerana perasaan marah dan kecewa. Keadaan ini tidak berapa baik untuk kesihatan kita. Carilah penawar untuk menyejukkannya. Antara penawar yang bagus ialah sahabat yang menyejukkan hati. Elakkan sokong membawa rebah dan juga tukang hasut.
Penghantaran hari ini - Makluman pada sahabat-sahabat
Silat dan persatuan/pertubuhan
Kaedah bersilat zaman moden ini biasanya berpesatuan atau pertubuhan. Walau bagaimanapun ada juga silat yang tidak ada persatuan . Tujuan berpesatuan adalah untuk mudah bergerak adan menjalankan aktiviti, manakala bagi kerajaan pula agar mudah dipantau. Ada orang yang tak berapa suka berpesatuan kerana benci dengan politik dalam persatuan. Walau bagaimanapun pandangan dan pendapat tentang persatuan, persatuan yang baik ialah persatuan yang menjaga kebajikan ahli-ahlinya.
Saturday, October 16, 2010
Jangan diceraikan....
Dalam pengajian zaman budak-buadak dulu, guru Quran selalu sebut jangan diceraikan nafi dan isbat. Masa tu ambo masih budak, tak faham. Bila besar sikit guru Quran berpesan lagi ucapan syahadah terhadap Allah dan rasul jangan kau pisah-pisahkan, ambo pun tak faham apa-apa. Bila masuk sekolah menengah ada guru kata, bacalah dalam satu nafas, ambo masih tak faham. Sekarang umur dah lebih daripada 40 tahun, masih tak faham-faham. Bila agaknya kita semua berikhtiar untuk faham atau wajarkah kita bergerak ikut lajak tanpa kayuh.

















































