sambil fikir zikir sambil zikir fikir

Hadaplah Wajah Mu Ke Mana-Mana Di Situ Ada Tuhan


@Hak cipta terpelihara.Semua artikel dan foto dalam blog ini adalah milik mutlak Cikgu Nasir .
Dilarang sama sekali sebarang bentuk salinan, peniruan atau penerbitan semula tanpa izin penulis/pengarang.

Saturday, March 19, 2016

Lawi Ayam - Rahsia bangsa Melayu

Di manakah kehebatan permainan senjata lawi ayam atau dikenali juga sebagai kerambit. Lawi ayam (kerambit) adalah senjata sulit atau rahsia orang Melayu.Pada zaman dahulu amat sukar untuk melihat permainan kerambit diajar secara terbuka. Ini kerana untuk menjaga kerahsiaan permainannya. Ia tidak ditonjolkan atau diselit dipinggang seperti keris dan badik. Bentuknya yang kecil dan biasanya bewarna gelap kerana ia lebih senang disembunyikan berbanding warna-warna yang terang. Bentuk lawi ayam yang melengkung dan tersembunyi dalam penumbuk amat merbahaya kerana kehadiranya sukar dikesan. Serangan kerambit biasanya berlaku dalam keadaan kalut dan tidak terduga. Ini kerana ia adalah senjata yang sebati dengan penumbuk. Cuma ia menyerang dengan cara yang tersendiri. Dalam perlawanan sebenar tidak perlu memusing-musing kerambit bagi menonjolkan kehebatan. Ini kerana ia sudah menjadi senjata yang tidak rahsia lagi.

Orang-orang Melayu terdahulu juga jarang melakukan persembahan atau demonstrasi di tempat kahwin atau keramaian bagi permainana lawi ayam. Ini kerana permainan lawi ayam bukan jenis senjata yang terhunus untuk dipertontonkan. Apatah lagi sifatnya yang tidak langsung menyerlah. Adalah tidak logik apabila seorang penyerang tangan kosong terus melancarkan serangan tangan dan kaki tatkala melihat lawannya bersenjatakan kerambit.

Bahagian tajam pada mata kerambit yang disepuh sekadar satu inci sudah cukup untuk merobek dan melukai kulit musuh. Lawi ayam tidak perlu setajam pisau sembelih atau pisau lapah. Ini kerana senjata orang Melayu ialah senjata yang kejam. Ia memberi kesakitan dan bisa kerana seretan hujung kerambit yang tidak terlalu tajam. Jika terlalu tajam musuh tidak sedar ia telah terluka akibat hirisan senjata dan akan terus melawan. Sebaliknya bila ia sedar ia telah cedera kemungkinan untuk menamatkan serangan atau melawan adalah lebih tinggi. Generasi lama silat sentiasa memegang teguh rahsia permainan lawi ayam / kerambit kerana menganggap ia adalah rahsia Melayu. Zaman sudah berubah, lawi ayam / kerambit kini sudah menjadi senjata popular bukan sahaja bagi bangsa Melayu dan Nusantara tetapi sudah menjadi kelengkapan wajib bagi tentera USA, Australia dan Israel. Ironinya bangsa Melayu masih lagi fobia dan tergagau-gagau dan berpolemik apakah beza antara kerambit dan lawi ayam.


No comments: