sambil fikir zikir sambil zikir fikir

Hadaplah Wajah Mu Ke Mana-Mana Di Situ Ada Tuhan


@Hak cipta terpelihara.Semua artikel dan foto dalam blog ini adalah milik mutlak Cikgu Nasir .
Dilarang sama sekali sebarang bentuk salinan, peniruan atau penerbitan semula tanpa izin penulis/pengarang.

Wednesday, October 28, 2009

Binasa syahadah

Dalam kitab Musolli yang dibaca zaman budak-budak dahulu, pada muqaddimahnya tercatat :-

4 perkara yang membinasakan syahadah .....

1 - Buat amal tanpa ilmu / belajar
2 - Tak tahu tak belajar
3 - Belajar tak amal
4 - Kata keji pada orang yang buat kebaikan

Thursday, October 22, 2009

Sembang-sembang bersama sahabat - intipati

....bermula riak apabila timbul perasaan tidak mahu beramal kerana risau akan berlaku riak.
......mereka yang tidak mahu beramal kerana dikhuatiri riak adalah golongan yang terpedaya.


(Riak yang terjadi pada permukaan air mesti kerana ada sesuautu yang telah menggerakkannya)

Tuesday, October 20, 2009

.... kau tak pandang ia akan datang.

Dalam pencarian menuju kepadaNya, pelbagai cenderamata diberikan kepada pelawat sebagai tanda kenangan, semakin berpangkat semakin mahal hadiah yang diberikan. Terimalah seadanya tapi jangan sampai berbekas di hati untuk mencarinya.

Friday, October 16, 2009

Melihat Melayu melalui keris...

Bercakap tentang keris seringkali kita boleh menilai Melayu melalui keris. Melayu dalam kontek ini ialah kefahaman Melayu tentang "Kemelayuannya". Ia meliputi adab, sopan dan ilmu tentang khazanah tinggalan nenek moyang mereka yang sudah didedikasikan sebagai satu disiplin ilmu walaupun tidak tertulis. Adab minta izin semasa melihat, minta izin hendak melihat bilah, adab hujung keris tidak ke arah kawan, cara memegang bilah keris, cara mencabut keris dan cara menilai, semuanya memperlihatkan Melayu dengan Kemelayuannya.

Cermat..

Percakapan adalah sebahagian daripada kehidupan kita seharian. Cara, gaya dan inti percakapan seseorang melambangkan keperibadian. Sehubungan itu apabila bercakap, cakaplah yang baik-baik, berfaedah, membahagiakan, berisi dan bernas. Kalau kita suka bercakap sembarangan, sembrono dan tidak memberi faedah tidak akan ada orang sudi mendengarnya suatu hari nanti. Akibatnya kita dilabelkan sebagai kaki borak, kelentong dan cakap tak serupa bikin. Walhasilnya kita akan bercakap seorang diri kerana orang ramai dah tak sudi mendengarnya walaupun ilmu dalam dada kita membuak-buak. Begitu juga kalau kita cakap terlalu pandai, akan ada orang yang boring mendengarnya, kerana kita kelihatan asyik nak menonjolkan diri kita dimatanya. Sehubungan itu berpada-padalah, cakap bila perlu, dengar didahulu.

Thursday, October 15, 2009

Memilih lorong

Kehidupan ada lorong-lorongnya. Bila dah masuk lorong susah juga nak jumpa " U turn". Semasa berada dalam lorong sesekali fikir-fikirlah, boleh sampai tak lorong ni ke destinasi. Tapi kalau dah yakin betul, belasah sajalah. Meninggalkan lorong gelap dan memilih lorong cahaya memerlukan keberanian dan pengorbanan serta sanggup menanggung risiko.

*jangan syok sendiri dgn lorong kita, sesekali jenguk-jenguklah lorong orang lain

Monday, October 12, 2009

Hilang manisnya.....

Kadang-kadang solat kita terasa tawar, hambar dan tiada manisnya. Di mana silap dan di mana salahnya. Jangan biarkan ia berlarutan, biarkan solat berbekas dihati dan berbekas pada perlakuan. Jika ia tawar, mungkin ada sesuatu yang perlu kita tambahkan, mungkin sedikit tazkirah tentang kesakitan ketika mati perlu menjadi perisa, atau tazkirah azab kubur dapat menjadi tonik mujarab. sesekali lapangkan masa untuk kita mencari rasa.

Hati-hati...

Dalam perjalanan menuju padaNya, kita sering bimbang kalau-kalau riak dan takabbur mula bersarang. Atas kesedaran kita berusaha untuk menjauhinya dengan amalan dan zikir. Sesekali kita terasa kita telah berjaya mengikis sikap riak dan takabbur ini dengan menunjukkan sifat tawadduk dan rendah diri. Ironinya jika kita menguar-uarkan sifat tawadduk kita tadi, kita sekali lagi menjadi riak tanpa disedari. Alahai.....

Warisan

Keris, lembing dapat kita wariskan pada anak-anak dan keturunan kita. Alangkah bertuahnya kita jika dapat kita wariskan adab sopan dan budi bahasa pada anak-anak kita. Mampukah keris lembing "kelas A" memberi pedoman kehidupan kepada anak-anak kita... kalau tak mampu, nampakknya ia adalah tanggungjawab hakiki kita. Begitu juga ilmu pendekar yang kita pelajari, dapatkah ia membentuk kita menjadi seorang yang budiman. Cakap senang, bila bertemu dengan situasi sebenar, ilmu entah ke mana,falsafah entah ke mana. Sama-samalah kita memperbaiki diri sendiri agar bertemu diri tajalli.

Terima kasih....

Walaupun jarang-jarang update dan tidak berjualan di blog masih ramai sahabat-sahabat yang mengunjugi blog ini. Bilangan pengunjung masih lagi bertahan. Panggilan teefon, email dan sms masih lagi ada walaupun tidak sekencang dahulu. Bukan tak mahu menulis, tapi idea "tak mari" dalam sehari dua ini. Kepada penempah-penempah sarung,pendokok, hulu dan sebagainya jika siap akan saya maklumkan. Meriahkan dunia perkerisan dengan pesahabatan dan silaturrahim. Dunia perkerisan moden hanya satu hobi, jangan jadikan ia punca untuk bermasam muka sesama kita.

Friday, October 09, 2009

Cantiknya....

Cantik adalah subjektif, nilai cantik ditentukan oleh pertimbangan akal yang tidak bebas. Ini kerana akal manusia biasanya dipengaruhi oleh persekitaran, pendidikan, pergaulan dan ilmu yang dimiliki oleh seseorang. Sehubungan itu akan berlaku pertembungan nilai apabila menilai cantik atau tidak sesuatu barangan kerana semakin ramai penilai semakin banyak asas pertimbangan yang digunakan. Apabila kita membuat penilaian terhadap barangan orang lain contohnya permata beberapa kewajaran perlu diambil kira, kewajaran yang paling penting ialah hati pemilik cincin berkenaan kerana kita sebenarnya tidak tahu nilai sentimental yang ada di sebalik sebentuk cincin di jari seseorang. Penilaian yang tidak tepat juga kadangkala akan menjadikan kita nampak bodoh, berat sebelah dan menyibuk. Sebelum menilai produk sebaikknya nilai dulu penilaian kita.

Menyimpan kayu

Mendapatkan stok kayu kemuning yang mempunyai plot cantik amat sulit. Walau bagaimanapun kayu berplot cantik sahaja tidak mencukupi, ini kerana ia perlu betul-betul kering untuk menaikkan "cahaya"nya. Sepatutnya ia dibiarkan kering ditempat teduh sekurang-kurangnya 6 bulan atau 2 tahun. Apabila kayu cukup kering, proses mengecut, retak dan pecah pada sampir dapat dikurangkan. Sanggupkah kita bersabar selama 2 tahun untuk mendapatkan sampr gred A? Itupun kalau ada kayu yang betul-betul berkualiti.

Wednesday, October 07, 2009

Adab berguru

Adab berguru, mencari guru....

Bermula dengan mencari guru, kemudian menuntutlah dengan bersungguh-sungguh. Bukan sekadar belajar dan mendengar dari jauh. Ada perkara yang boleh ditanya, ada perkara yang tidak boleh disoal, bukan semua perkara yang masuk diakal. Sesetengah perkara buat dan patuh dahulu, kemudian barulah datang kefahaman. Walau apapun yang pahit jangan terus dibuang, yang manis jangan terus ditelan. Masa dan keazaman akan mematangkan pemikiran.

Ikut ikutan atau pemahaman

Kita bertuah kerana dilahirkan sebagai muslim dan dibesarkan dalam persekitaran yang kondusif untuk menuntut ilmu, cuma mahu atau tidak bergantung pada kecenderungan, peluang dan kehendak. Kelebihan ini janganlah pula menjadikan kita selesa tanpa berusaha, aqidah yang kita pegang tidak cukup dengan hanya bertaqlid semata-mata. Menuntutlah dan bergurulah untuk memahami apa yang menjadi tunjang pada pegangan kita. Peruntukkan sedikit masa agar amalan yang kita lakukan bukan sekadar ritual semata-mata tanpa rasa dan jiwa. Berapa banyak masa kita peruntukkan untuk memahami sesuatu yang rumit dan teknikal dalam kerjaya kita berbanding masa yang kita peruntukkan untuk memahami Tuhan dan Aqidah anutan kita. Bila kita dipanggil pulang semua yang lain tidak berguna kecuali amalan yang diterima bukannya amalan yang sia-sia.

Tuesday, October 06, 2009

Penghujung bicara

Dalam percakapan , perbuatan dan pemikiran, hujung jatuh seharusnya pada Allah. Dalam proses hujung jatuh ini memang ada pelbagai sebab dan musabab, usaha dan ikhtiar. Sebagai seorang yang sempurna akal kita janganlah dihijbakan oleh sebab dan musabab. Tidak perlu kita menyelak selapis demi selapis untuk sampai ke akhirnya dengan pelbagai hujah dan alasan. Putuskan dengan ikrar yang jazam dan terus kepada Pemilik segala Gerak .
* Innalillahhiwainnailaihirrajiuun.

Monday, October 05, 2009

Keris vs Bencana

Dah lama tak menulis...

Aqidah adalah persoalan pokok dalam kehidupan seorang muslim. Lain-lain perkara akan menjadi remeh dan tidak penting lagi apabila dihadapkan dengan ilmu tauhid. Sehubungan itu sentiasalah cermat walau dalam apa urusan samaada bermain keris ataupun apa jua mistik yang lain. Bukan untuk kondem atau memerli sesiapa, tetapi sekadar ingatan untuk diri sendiri yang kadang-kadang terlalu syok hingga alpa batas-batas tauhid.
Jika keris dikatakan mampu menolak bencana dan membawa tuah, adakah di Padang tidak ada keris yang bertuah atau mampu menolak bencana, atau power keris-kerisnya sudah luntur. Sekadar satu lontaran pemikiran untuk ditimbang-timbangkan. Begitu juga dengan ilmu kebal, tidak adakah ilmu kebal yang mampu menolak bencana atau kecederaan fizikal. Hakikatnya kita insan yang lemah, berserahlah kepada Allah dan yakinlah Lahaulawala quwataillabillahilaliyilaziim, jangan kita rosakkan aqidah kita hanya kerana hobi semata.