sambil fikir zikir sambil zikir fikir

Hadaplah Wajah Mu Ke Mana-Mana Di Situ Ada Tuhan


@Hak cipta terpelihara.Semua artikel dan foto dalam blog ini adalah milik mutlak Cikgu Nasir .
Dilarang sama sekali sebarang bentuk salinan, peniruan atau penerbitan semula tanpa izin penulis/pengarang.

HUBUNGI :

handphone/wassap : 0135292453
email : cikgunasir8130@gmail.com
fb: cikgunasir

Friday, July 31, 2009

tamat..

Sibuk sana,sibuk sini, kalut sana kalut sini, memang tak ada masa. Semalam kita masih merancang-rancang.... pagi ini kedengaran berita kita dah kembali ke rahmatullah. Itulah penamat kehidupan kita.
*jarang-jarang perancangan kita untuk akhirat

Niat , kata , buat....

Ini adalah pakain orang yang sedang berjalan menuju kepadanya, tapi kalau niat yang buruk cepat-cepatlah bertaubat. Bila dah kata kita mesti tunaikan, jangan pula kita hanya pandai berkata-kata dan berfalsafah bila kena bahagian orang, bila kena batang hidung sendiri kita lantak sahaja. Mengharapkan orang lain berlaku adil pada kita takkan kesampaian kalau kita sendiri pun tidak berlaku adil pada diri asendiri dan orang lain. Manusia dinilai pada kata dan perbuatannya.

Kerambit Kenangan


Ini adalah kerambit hasil kerja tangan Ucu Noh Kg Selat Layang-Layang Kiri. Saya tidak pasti sama ada beliau masih hidup ataupun dah meninggal dunia. Kali terakhir saya mendengar khabar beritanya ialah setahun lepas. Kerambit ini dibuat sepasang. Dulu ia sering menjadi senjata anak-anak Gayong Cawangan Bachok. Kini ia kembali ke dalam almari saya sebagai item kenangan.

Sembang-sembang dengan sahabat...

Semalam saya singgah sekejap di "Parking" , sebuah komplek tempat tukang-tukang cincin dan permata di Kota Bharu. Dalam masa yang terhad saya sempat beramah mesra dengan sahabat-sahabat tukang dan tokey-tokey cincin serta barang antik. Antara intipati perbualan saya dengan seorang peniaga keris di "Parking" ialah ;

- Biarlah pembeli yang membuat penilaian, usah dikarang cerita-cerita disebalik sesuatu produk.
- Jangan pandai-pandai menilai produk orang lain.
- Jika kita pakar, sebaiknya nilai barang kita sendiri atau tunjukkan produk kita.
- Jangan menyibuk dengan perniagaan orang lain.
- Penilaian kita terhadap produk orang lain, memudahkan orang menilai siapa kita.

Akhirnya kepada sahabat-sahabat, usahlah kita dok sibuk-sibuk dengan perniagaan orang lain yang tidak ada kena mengena dengan kita, bukan kita dapat apapun. Jadilah orang cerdik dengan membangunkan perniagaan kita sendiri.

Pandainya....

Kadang-kadang kita terlebih pandai, sehinggakan kita lupa bahawa pandai dan bijak juga mesti bertempat. Jika kita bijak atau menjadi orang yang terlalu pandai bukan pada tempatnya atau salah tempat maka di situ kita akan kelihatan terlalu bodoh.

Ulu ukir RM180.00






Lintar air RM80.00 ( SOLD OUT)

B.m saiz 24.5 ikat tangkai kendi.

Bahar RM80.00 (B)


Bahar RM80.00 (A) SOLD OUT


Marjan RM160.(B) ( SOLD OUT)


Marjan RM160.00 (A) ( SOLD OUT)


Bilah pisau melapah/sembelih (not for sale)




Pisau untuk melapah /sembelih diperbuat daripada besi spana hidup. Biasanya spana buatan Jerman/Britain lebih baik daripada spana buatan negara lain.



Thursday, July 30, 2009

Membersihkan hati...

Amat susah untuk membersihkan hati, terutamanya bila diuji dengan kata-kata nista dan kutukan. Kita akan senyum puas bila dipuji dan dipuja. Susah juga untuk berlapang dada, kerana belum sampai tahap mutmainnah.

Adat vs biadap

Kadang kala kita lupa tentang adat dan amalan budi bahasa dalam kehidupan seharian. Sikap benkeng kita berada tahap nombor satu, pantang jika perlakuan kita disentuh, tapi malangnya dalam masa yang sama kita sibuk mencari penyakit dengan menyentuh hal orang. Pangkat, ilmu dan nama tidak akan menjamin kita daripada berkelakuan bodoh atau jahil muraqab.
*mujurlah Allah jadikan kita insan, kalau tidak dah lama kena tembak kerana menyebar H1N1

Andainya...

Andainya dibuka pintu kashaf pada seorang insan yang matang, matanya melihat di sebalik nyata, telinganya mendengar suara-suara, hatinya melihat perkara di sebalik masa. Namun tidak dibanggakan sesama manusia. Angkuh dan menunjuk amalan murka. Kalau terjumpa insan hebat yang menimbulkan angkara, yakinlah ia hanya sandiwara mencari nama.

Serahkan padaNYa..

Serahkan urusan kita pada Allah, nescaya akan ada jalan keluarnya. Laburlah di jalannya nescaya dividennya bukan setakat di akhirat, tapi di dunia dah melimpah ruah. Buang sifat-sifat iri,tamak dan riak . Jalinkan persahabatan, berlebih kurang, nescaya jalan lapang terbuka di hadapan.

Pasang surut kehidupan

Dalam kehidupan ada pasang surutnya, bila ia pasang jangan pula kau lupa daratan, bila surut jangan pula kita lupa ia adalah lumrah kehidupan. Teruskan perjalanan, luka akibat terjatuh hanya sebagai peringatan, patah riuk sebagai satu pengajaran. hidup mesti diteruskan.

Blue Sapphire - Untuk perhatian sahabat SOLD OUT







Bilah tua RM350.00 siap pos dlm semenanjung


indahnya perjalanan ini.... Engkau Yang Satu

Bilah Tua RM450.00 siap pos dlm semenanjung



Nafsin Wahidah... untuk sahabat

Kita menyedut nafas yang satu, tak kira di mana kita berada. Jika kita sedar akan kesatuan kita insyaallah akan ada pertalian antara kita bila ada urusan. Di sana terlintas di sini terasa. Hubungan itu adalah anugerah bukan boleh diminta-minta, layanlah ia seadanya. Bukan satu kelebihan atau kekeramatan, cuma ia sekadar gula pemanis minuman atau garam untuk menambah selera. Jemputlah minum jika dahaga.

Wednesday, July 29, 2009

Tasbih Teras Kemuning Hitam RM100.00 seutas


Teras Sagu RM150.00

Stok 2 sahaja

Senangnya hati...

Kadang-kala kita amat gembira dan senang hati, bukan kerana apa. Tapi kerana melihat orang lain berjaya kita jatuhkan, atau bila kita lihat orang lain susah. Kesenangan jenis ini sebenarnya ialah kegembiraan palsu yang dicipta oleh nafsu amarah. Carilah kegembiraan sebenar yang diseliputi oleh ketenangan dan keredhaan terhadap takdir Allah s.w.t.

Pelaris siri 2

Dalam perniagaan orang Melayu pelaris merupakan satu elemen yang agak penting. Sama ada sedar atau tidak ia mendapat tempat dihati sesetengah peniaga-peniaga. walau bagaimanapun tapisan ketat hendaklah dibuat agar ia tidak menyelewengkan aqidah kita. Sebaik-baik pelaris ialah pemahaman rezki, hak dan pemilikan. Rezki ialah apa yang kita makan dan pakai, pemilikan ialah apa yang kita kumpul manakala semuanya ialah milik atau hak Allah s.w.t. Wang ringgit hasil jualan/gaji hanya lalu dan singgah di tangan kita dalam waktu yang singkat sahaja. Sebaikknya tabungkan ia dalam dana yang hanya boleh di nikmati dividennya di akhirat. Pelaris bukan pada benda tapi perbuatan dan juga keyakinan. Laris bukan pada jualan tapi pada pemahaman dan pulangan.

Masa akan menentukan segalanya

Perjalanan ini adalah rencana Allah s.w.t, kekadang kita berasakan kita terlalu bijak merancang hinga lupa siapakah sebenar-benar perancang. Renungkan apakah yang kita dapat sehari-hari, kawan-kawan yang mendekatkan kita dengan tuhan atau kawan-kawan yang mendekatkan kita dengan permusuhan dan iri hati. Carilah teman sejati dalam mengenal Tuhan

Apa sebenarnya yang dicari-cari...

Janganlah jadi kepala batu, terimalah hakikat jika apa yang kita katakan tak benar maka ia tetap tidak benar. Sama ada kita suka atau tidak itulah hakikatnya.

Tuesday, July 28, 2009

Batu permata campuran RM180.00


Gabungan 3 jenis batu langka.
lintar air(hijau) + gemunggal batu(coklat)+nibong batu (putih)

Udah la tu..

Cukuplah perkara-perkara buruk dan negatif yang kita lakukan pada masa lalu. Yang buruk kita jadikan sempadan. Yang baik kita jadikan teladan. Bangsa lain sibuk membeli kedai dan syarikat, kita pula sibuk bertekak dan menyakat sesama sendiri. Kalau tak menyindir dan menyakiti hati orang tak sahlah hidup kita sehari-hari. Tapi hati kita sendiri tak pernah kita selidiki.

* serigala jarang berkwan dengan kambing

Betul...

Dua tiga hari lepas isteri saya ada menceritakan dia membaca satu artikel tentang kesibukan menjaga harta orang lain dalam blog rakan-rakan. antara intipatinya ialah :
- Kita sibuk menjaga harta yang bakal kita tinggalkan untuk orang lain sehingga kita lupa habuan untuk diri kita. Kita lupa untuk bersedekah sedangkan ia adalah bahagian kita di akhirat. Jadi berpada-padalah mengumpul untuk orang lain, kumpulah bahagian kita di akhirat.

Perkembangan positif

Alhamdulillah walaupun dalam kesibukan kerja, sahabat-sahabat guru saya kini semuanya sibuk menambah ilmu dengan menadah kitab-kitab tauhid. Ada yang tolong belikan kitab untuk sahabat-sahabat dan ada yang tolong tunjukkan guru-guru kepada yang baru. Ada juga yang hardcore sehingga mengunjungi 2 guru/ustaz dalam sehari. Tahniah. Walaupun kami guru, tapi kami murid dalam ilmu tauhid. Sama-samalah kita belajar dan menimba ilmu untuk menerangi jalan pulang.
*jadi pendekar sahaja tak cukup untuk untuk berpencak dalam kubur

Sibuknya tukang-tukang....

Dalam sehari dua ini saya agak kurang memasukkan produk-produk baru terutamanya keris. Ini kerana agak sibuk dengan aktiviti sekolah seperti mesyuarat dan lain-lain lagi. Walau bagaimanapun kepada penempah -penempah harap bersabar kerana tukang saya sedang menyiapkan lebih daripada 25 tempahan untuk minggu ini sahaja. Ada sahabat yang tempah 10 bilah, dan ada yang tempah 7 bilah. Yang 10 bilah insyaAllah 5 atau enam hari lagi siap, kemudian untuk tempahan sahabat yang 7 bilah kan menyusul proses menyarung. InsyaAllah semua tempahan akan dibuat mengikut giliran. Kepada sahabat yang menempah bilah tokcu, tempahan dan siap, cuma tak ada masa untuk ambil dan poskan, kepada sahabat yang minta reja gading insyaallah ahad atau isnin baru boleh pos. Kena utamakan yang wajib dulu.

Monday, July 27, 2009

Parcel delay lagi....

Maaf dipinta pada sahabat saya di Muadzam Shah kerana kelewatan menerima barangan, sedikit masalah timbul apabila pihak courier services di kuantan tidak memasuki kawasan . setelah saya beberapa kali cuba menjejaki parcel yang tidak sampai, semalam ia berada di Batu Pahat pula, akhir sekali saya meminta agar dipulangkan semula kepada saya agar dapat diposkan menggunakan perkhidmatan syarikat lain.
* adat hidup

Sunday, July 26, 2009

Kalaulah....

Semalam saya gelak sakan dengan pelajar-pelajr form six apabila membincangkan soal mengekalkan pakain tradisi. Saya mengambil contoh pakaian masyarakat Kelantan sekitar tahun 1800. Ramai pelajar yang tidak pernah terlintaspun difikiran, pakaian seharian nenek moyang mereka suatu masa dahulu. Masa sudah berubah, itulah hakikat kehidupan.

Saturday, July 25, 2009

Perniagaan dan hobi

Antara blog yang saya suka baca ialah blog anak buah saya , Adli http://www.majalahim.com/ , apa yang saya banggakan tentang Adli ialah semangatnya dalam bekerja. Walaupun usia baru 18 tahun, kematangan dan kerja kerasnya untuk menjadi jutawan amat mengkagumkan. Dalam blognya tidak ada unsur-unsur negatif, sebaliknya diisi dengan ilmu, motivasi dan juga cerita-cerita semasa bisnes yang dilakukannya. Jika dibandingkan dengan kita yang dah berumur, kadangkala terasa malu kerana sifat keanak-anakan yang ada pada kita melampaui pelajar tadika.

Berpada-padalah...

Pengumpulan keris dan barang antik adalah satu hobi. Hobi mengumpul keris dan barang antik biasanya memerlukan bajet yang agak besar. Jadi berpada-pada dan belilah ikut kemampuan. Jangan sampai hobi menyusahkan diri sendiri. Amalan korek lubang timbus lubang untuk membeli keris dan barang seumpama wajar dielakkan sama sekali.
*keris juga boleh menghiris hati

Ikut kawe kuba kawe....

Zaman budak-budak dulu seringkali bila kita tak nak orang lain menyibuk kerja kita, maka ungkapan "ikut kawe kuba kawe, tak sir belaga masuk kandang", sering dikeluarkan. Maksudnya ialah suka hati kitalah nak buat apa dengan barang milik kita, tak perlu orang lain nak menyibuk-nyibuk. Kalau nak menyibuk jugak peliharalah "kuba" sendiri. Dalam ertikata lain jangan kita asyik dok sibuk jaga tepi kain orang lain.

Untuk perhatian Sahabat (SOLD OUT)




Friday, July 24, 2009

Sembang-sembang dengan sahabat

Dalam perjalanan ke Kuala Krai bersama rakan-rakan wasit juri silat, seorang sahabat menceritakan apa yang didengar semasa kuliah di pondok . Intipatinya ialah :
Tanda lemah iman ;
Antara tanda lemah iman ialah apabila kita tersepit baru kita memerlukan pertolongan Allah, sedangkan masa kita senang kita lupa pada Nya. Bagi mereka yang kuat imannya , mereka sentiasa memerlukan Allah sepanjang masa, tak kira senang dan tak kira susah. Sepanjang masa mereka memohon, beribadat dan mengharapkan Allah.
* aduh terasa betul-betul tepat di kepala kesimpulan ini

Musuh sebenar musuh

Musuh sebenar musuh ialah nafsu amarah yang ada dalam diri, bermusuhlah dengannya.

Ketentuan Ilahi

Perjalanan ini adalah dengan rahmat dan kehendak Ilahi, kita sebagai hambanya hanya mampu berdoa dan beriktiar dalam lingkungan kekuasaanNya. Semoga rahmat Allah melimpah ruah mengiringi perjalanan ini. Allahuakbar.

Baru bermula....






Badik melela tempahan sahabat, baru bermula proses menyampir.


Hulu hitam kayu buwei RM120.00


Sesuai untuk keris saiz 11, 12 dan 13 inci

Golok sembelih RM200.00 ( ON HOLD) suhaimi




Mata besi spring
Sampir dan ulu kayu halban plot.
Panjang keseluruhan 17 inci
Bilah 11 inci

Hulu untuk kolektor RM120.00 termasuk pos







Kayu kemuning kuning. Sesuai untuk keris saiz 12,13 dan 14 inci
Design hulu lama.

Thursday, July 23, 2009

Terkenang sembang-sembang seorang sahabat

Sahabat saya ini seorang yang arif dalam dunia perkerisan, bijak pula berfalsafah dan pandai berkias. Antara sembangnya yang saya ingin nukilkan di sini ialah cerita dunia artis tanahair :
__________________________________________________________________
Dunia glamor artis Malaysia:
Semakin hari semakin ramai artis yang muncul. Pokok pangkalnya semua artis ialah mereka yang berbakat sama ada menyanyi atau berlakon. Dalam ramai-ramai artis adalah beberapa nama yang betul-betul popular, ini kerana bakatnya, kegigihannya bekerja, disiplin, produktif dalam mengeluarkan album yang berkualiti, ada syarikat sendiri dan pelbagai kelebihan lagi. Jasa mereka dalam dunia hiburan tanahair tidak dapat disangkal lagi. Tambahan pula dah kahwin dengan dato. Lagilah glamor ( Contoh sifu M.Nasir dan Siti Nurhaliza)
Ironinya dalam masa yang sama terdapat juga segelintir artis yang ingin jadi glamor, terkenal dan jaguh dalam dunia hiburan. Mereka menubuhkan persatuan-persatuan artis demi membela nasib artis-artis yang tertindas. Malangnya pelbagai masalah dalam persatuan pula yang timbul. Mereka juga tidak menghasilkan album-album lagu untuk dijual, malah tidak pula mendapat tawaran untuk berlakon. Antara kegiatan artis-artis ini ialah bergosip, mengumpat, bertengkar, merampas suami orang, saman menyaman dan pelbagai lagi cerita. Antara bahagian yang paling penting ialah mesti sentiasa ada isu agar nama mereka tidak terus lenyap dari ingatan peminat dunia hiburan. Kesiannya.
*T.Kasih T

Melatih balingan pisau/kapak/senjata lain

Kaedahnya yang digunakan ialah kaedah yang sama seperti balingan 'dart'. Kaedahnya, jika pisau ia boleh dibaling sama ada memegang hujung mata atau hulu, semasa balingan posisi hujung siku ialah ke arah tempat yang dibaling. Sebaiknya pisau atau senjata yang digunakan untuk balingan dibuat khusus agar lebih berat pada bahagian hujung dan ringan pada bahagian hulu agar ia akan menjadi lebih mudah terpacak dan mengenai sasaran.

Adat dalam silat

Bagi masyarakat Melayu, adat adalah sebahagian daripada kehidupan mereka. Ada bahagian "agama bersendi adat". Walau bagaimanapun kita sebagai Melayu Islam perlu membuat penilaian secara halus, berhati-hati dan penuh berhemah untuk menilai adat dalam silat. Ini kerana jika salah nilai akan merosakkan aqidah si pemakai adat. Sehubungan itu kriteria yang paling atas dalam penilaian ialah aqidah. Mana-mana adat yang selari dengannya boleh di terima pakai, yang tersasar,melencong atau tiada penjelasan letak di tepi dahulu.
*ikut adat boleh, jangan sampai sesat

Keliru

Terkadang kita keliru dek sedikit wang ringgit. Ujian oleh kesusahan ramai yang mampu menghadapinya. Apabila kita kesusahan kita mula rapat dan kembali dekat dengan Allah. Sayangnya ujian oleh kesenangan menjarakkan diri kita dari ibadah dan Allah. Ini kerana segala 'speed' kita rasakan perlu untuk mengejar material. Allah maha pengampun dan maha penyayang.

Tari bercerita dan berisi buah

Tari dalam silat bukan tari sembarangan, bukan direka-reka tanpa pemahaman. Jika direka-reka sembarangan tanpa memahami maksud pergerakan maka ia akan jadi kaku serta berbeza-beza fe'elnya apabila diturunkan dari seorang kepada seorang pesilat yang lain. Mereka juga kehilangan rasa. Saudara boleh mencipta tari sendiri, tapi dengan syarat ia melambangkan kehidupan sekeliling kita, digubah dalam bentuk tarian tapi mestilah bersedia untuk berputik dan menghasilkan buah. Jika tari hanya sekadar bunga ia gagal membawa citra silat.

Berkongsi ilmu vs Berkongsi hasad

Jika saudara orang berilmu kongsilah ilmu yang bermanafat dengan sahabat-sahabat lain. Elakkan sama sekali kita berkongsi hasad kesumat dalam jiwa dengan sahabat-sahabat. Kurangkan bersembang, carilah jalan untuk menambah pendapatan, menambah ilmu dan mengumpul sahabat. Jika kita sebarkan hasad, ia bukan menghakis orang lain, sebalikknya ia akan mengikis kemurnian jiwa kita.

Melatih diri...

Semasa masih remaja saya diberi satu petua oleh seorang guru silat untuk mengatasi rasa seram. Petuanya mudah sahaja, apabila kita rasa seram/seriau/meremang bulu roma jangan tinggalkan tempat itu. Sebalikknya terus duduk dan pegang ibu kaki kuat-kuat. Kalau pakai kasut pula pegang muncung kasut kuat-kuat sampailah rasa seram/meremang bulu roma tadi sudah hilang. Selamat mencoba,

*Penulis tidak bertanggungjawab jika saudara akan berkungfu dgn hantu

Pisau Melapah Edisi Istimewa







Pisau melapah . Hulu tanduk kerbau betina. Menggunakan bilah sabit kelapa sawit lama.

Tempahan 'sahabat


Wednesday, July 22, 2009

Tempahan Sahabat


Suka menepuk air dulang...

Bila dah tak ada kerja jangan pula kita suka-suka menepuk air di dulang. Banyak lagi kerja lain yang boleh dibuat. Lebih baik cari kayu, cari batu atau cari besi. Berniaga adalah sunnah, jadi jika kita berniaga kita telah pun mengikuti salah satu sunnah nabi.

Zahir dan batin

Untuk melihat batin insan biasanya kita melihat af'alnya. Walaupun dari bicara ia tidak berapa kelihatan, lambat laun akan terserlah jua fe'el atau tabiat manusia. Kadangkala kita lupa apa yang pernah kita halakan pada orang . Kita hanya pandang ke depan sahaja, yang di depan semunya sumbang dan tidak betul. Akhirnya bila kita buat, sahabat kita buat, sedara mara kita buat kita pekakkan telingan kita butakan mata dan kita sokong 100%. Jadi sama-samalah kita renung dan berbaiki diri masing-masing.
*Ingatan untuk diri sendiri

Kapak dan sasaran

Sasaran kapak ialah pada bahagian kepala musuh. Kapk juga digunakan untuk memberi bekas kepada musuh sebagai tanda kenang-kenangan seumur hidup. Biasanya ia akan di tanda pada bahagian dahi. Suatu masa dahulu orang luar yang masuk kampung dan kurang adab akan diberi sedikit cenderahati (cedera/mati) sebagai salam perkenalan. Walau bagaimanapun budaya sebegitu tak elok lagi diamalkan pada hari ini.

Tuesday, July 21, 2009

Permainan kapak

Kapak jarang digunakan untuk permainan pentas,sebaliknya lebih kepada senjata sulit seperti kerambit. Kapak-kapak bersaiz kecil lebih senang disembunyikan di pinggang atau dalam poket rahsia. Cara memegang kapak yang betul ialah rapat pada bilahnya. Ini untuk mengelakkan kapak makan tuan.

Istimewa untuk sahabat


Monday, July 20, 2009

Ulu kemuning

Seringkali berurusan dengan tukang-tukang ulu dan sarung serta sifu-sifu dalam dunia perkerisan, antara kesimpulan mudah yang dapat dibuat tentang penggunaan kayu kemuning hitam :

1. Tajong -tajong antik sebahagian besar di buat dari kemuning hitam

2. Penolakan tukang-tukang baru terhadap kemuning hitam kerana rumit dan menyusahkan.

3. Mitos tentang mistik kemuning lebih hebat dari kerumitan mengerjakannya.


Berhati-hati membeli kemuning jika tidak pakar kerana takut terkena kayu buwei atau kayu malam.


* Johari juga yang mengenal maniam

Syukur...

Dengan izin Allah s.w.t perkembangan industri keris semakin memberangsangkan. Keris-keris baru mendapat tempat di hati pembeli. Perkembagan industri keris melaui teknologi IT masih lagi di peringkat tadika dan memerlukan masa untuk matang. Dalam proses menuju kematangan ini saya telah membuat beberapa hipoteses mudah tentang gelagat pemain-pemain keris :
1. Peminat keris - hanya minat tapi tidak membeli.
2. Kolektor baru - membeli keris-keris kelas ekonomi
3. Kolektor tegar - membeli keris antik kelas premium
4. Pengguna keris - menggunakan keris untuk latihan silat (keris gelanggang)
Walau bagaimanapun kini keris-keris tempatan mendapat saingan sengit keris-keris luar terutama Indonesia yang secara relatifnya adalah murah. Terpulanglah kepada pembeli untuk memilih dan membuat keputusan. Tepok poket, call,sms,email dengan segera ia menjadi milik saudara.
* ludah ke langit tak ke mana kalau tidak ke muka

Apakah maksudnya..?

Semalam saya bermimpi melihat lidah berjanggut. Apakah maksudnya. Saya juga melihat telinga yang membengkak dan bernanah di sebelah kiri.

Tarik barang

Ilmu tarik barang paling ampuh yang saya pelajari ialah bayar tunai/cash. Inilah pelembut hati pembuat/tukang serta peniaga. Ilmu ini akan membuat tukang terkenang-kenang. Resmi tukang ialah sebaik barang siap, upah mereka mesti dibayar. Ini kerana itulah punca rezeki mereka. Soal mereka kaya atau miskin tidak pernah timbul. Mereka bertukang dan ada bahagian mereka atas kepakaran mereka. Bagi peniaga pula mereka ada bahagian mereka atas modal dan kemahiran pemasaran mereka. Kalau kita suka "makan" tukang /pembekal atau dalam kata lain suka makan orang, lambat laun tak ada siapa nak percaya pada kita lagi. Biasanya kalau kita susah nak tarik barang tandanya kita cekap tarik musuh.

*keuntungan bukan segalanya

Paruh menilin RM150.00 SOLD OUT




Mencari nama

Andainya kita berusaha mencari nama dan kemashuran, semestinya akan dapat. Tapi belum pasti nama baik atau nama busuk. Kalau kita mencari kebenaran dan keikhlasan, insyaAllah nama yang harum akan semerbak di persada maya.

Sunday, July 19, 2009

Lihat di depan baca di sini

Dalam persilatan menilai musuh dengan membaca diri sendiri adalah termasuk dalam kategori sukar . Kekuatan musuh boleh di nilai dengan prisnip positif dan negatif. Jika kita positif musuh kita adalah negattif. Begitulah sebaliknya, jika nafas kita kuat sebelah kanan, biasanya nafas musuh kita kuat sebelah kiri. Jadi logikknya kita boleh menilai musuh atau lawan dengan menilai diri kita. Ini adalah pandangan saya semata-mata tidak semestinya betul dalam semua keadaan. Wallahualam.

Alif ba ta

Mulai baca dengan alif ba ta, mula menulis dengan titik. Kalimah dalam diri tersusun indah, boleh di baca jika perlu. Tak tahu membaca pun ia tetap ada dan tertulis. Bagi yang kenal huruf nampaklah apa yang tersurat, bagi yang buta huruf, abjad dan ayat hanyalah gambar/lukisan indah semata. Yang membezakan antara manusia ialah ilmu, iman dan amal.

Cenderahatti dari Tunisia/Syria


Al-Quran kecil pemberian sahabat jauh. Terimakasih

Hulu kemuning Ukir RM180.00 SOLD OUT










Buktikan..

Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah kerana beberapa mentee saya dlm bisnes menggunakan blog sudah mula menampakkan hasil. Hasil tawadduk, merendah diri serta sanggup belajar, sahabat-sahabat kini mampu tersenyum kerana hasilnya di luar jangkaan. Antara petua kejayaan dalam bisnes ialah mulut mesti manis, hati mesti baik.

Apa untungnya...

Apa untungnya kita asyik bertelagah sesama kita.
Untungnya:

- kuasa semakin hilang
- orang lain makin besar kepala
- bangsa makin berpecah
- Islam makin lemah
- bangsa lain tepuk tangan
- bangsa kita senyum sumbing

bukalah mata luas-luas.

Sibuknya bila kita pedulikan diri sendiri

Kesibukan kita bekerja dan mencari rezeki kadangkala menyebabkab "diri" hilang. Kita sudah tidak sedar bahawa "diri" wujud. Kita hanya nampak orang di hadapan dan di sekeliling kita dengan rasa penuh kerdil serta alpa. Tapi bila kita sibukkan dengan diri dengan menyelidiki "diri" kita sudah tidak kisah lagi kesibukan dihadapan, kita sudah mula sibuk di dalam. turun naik helaan nafas menandakan "aku" masih wujud.

Sembang-sembang dengan sahabat

Pagi tadi saya bersembang sekejap dengan seorang sahabat sambil pekena kopi dan roti bakar, sembang kami berkisar sekitar "zikir" , kesimpulan yang boleh dibuat ialah :

- tahap permulaan ialah zikir lisan

- tahap kedua ialah zikir nafas

- tahap ketiga ialah zikir hati, iaitu "ingat". Tidak berhuruf dan tidak bersuara.

Wallahualam.


* maksud zikir ialah ingat

Saturday, July 18, 2009

Sulitnya mencari ....

Ramai yang masih tercari-cari, tak tahu apakah sebenarnya yang dicari. Selalu kedengaran pesan orang-orang budiman, katanya carilah,carilah. Tapi mereka tak pernah mengatakan apakah sebenarnya yang patut dicari. Maka mencarilah mereka sehingga tidak keruan dan sesat di jalanan. Susahnya, mereka tidak sedar yang mencari itulah yang dicari.

Mampukah kita bertahan...

Kemelut politik hari ini nampaknya banyak merugikan Melayu, kita sebagai pemain-pemainnya mestilah melihat dengan kacamata yang ikhlas demi kelangsungan anak-anak kita pada masa hadapan. Silap kira jadi kera, silap catur kena atur. Lihatlah dengan mata hati agar kita bakal diingati suatu hari nanti sebagai pejuang sejati.

Bahar putih ( not for sale)



Bahar putih ( white coral )

Milik seorang sahabat, untuk dijadikan ulu keris.

RC002 Marjan /red coral RM160.00 ( Asli) SOLD OUT


RC001 Marjan /red coral RM160.00 ( Asli) SOLD OUT


Tempahan Sahabat ( Cg Md)


Friday, July 17, 2009

Bermain kerambit :

Antara sasaran kerambit yang boleh melumpuhkan lawan ialah pada urat besar sendi bahu. Jika di bahagia bawah ia akan mensasarkan urat besar pada pelipat lutut dan urat pangkal paha. Oleh kerana kerambit tidak kelihatan dan dikelurkan secara rahsia, kebayankan mangsa tidak perasan mereka berhadapan dengan bahaya kecederaan parah/maut.

Tiada foto

Dalam sehari dua ini, kebanyakan produk saya yang siap ialah produk tempahan khas yang tidak sesuai diambil gambar kerana ekslusif untuk pemiliknya. Sehubungan itu saya banyak memasukkan artikel-artikel untuk dikongsi bersama.

Pengumuman pada penempah :

- 7 bilah keris 7 pa akan siap tak lama lagi, semua mata hampir siap 100%

- 2 bilah sundang juga pada tahap pembuatan sarung

Rasa

Dalam silat terdapat pelajaran peringkat "rasa". Tahap ini biasanya pengamal silat dapat merasakan apakah pergerakan yang bakal dilakukan pihak lawan. Ia memerlukan tahap sensetiviti deria yang tinggi dan pengamatan yang mendalam. Contohnya apabila kita bersentuhan dengan lawan, kita dapat rasakan berat atau ringan badannya ke arah kita. Jika ringan ia akan berundur dan jika berat ia akan menyerang. Carilah mereka yang arif, saya hanya membuka bicara.

Thursday, July 16, 2009

Parcel delay

Beberapa parcel yang sepatutnya dihantar pada hari khmais tidak sempat saya lukukan. Ini kerana terpaksa bertugas di Kuala Krai. InsyaAllah ahad saya poskan, insyaAllah Isnin atau selasa sampai. Terima kasih semua.

Angka dalam pembuatan keris dan badik

Kebanyakan pembuat keris dahulu mempunyai ilmu dan kefahaman yang mendalam dalam ilmu ketuhanan. Biasanya mereka amat menitik beratkan faktor angka/nombor untuk sesebilah keris. Antaranya ialah bilangan 1,3,5,7,9,11,21,25 . Angka ini dikira mengikut rukun-rukun yang terdapat dalam ilmu tauhid. Misalnya angka 1 melambangkan Allah Zat yang Esa manakala angka 3 pula melambangkan Allah, Muhammad dan Adam, begitulah seterusnya. Dewasa ini kefahaman sebegini sudah mula luput dari minda tukang-tukang muda, mereka bermain dengan angka/nombor hanya sekadar ikut-ikutan tanpa pemahaman yang mendalam. Walau bagaimanapun ini tidak dapat kita salahkan pada mereka sahaja. Kaedah kerahsiaan ilmu yang keterlaluan di kalangan generasi terdahulu kadang-kadang mengakibatkan sesuatu ilmu berkubur begitu sahaja. Terserahlah kepada kita untuk menggali dan memahaminya.

* jangan main 4 nombor ekor dah la...

Larak salah

Larak ialah sejenis pokok renek yang tumbuh liar di sekitar kampung. Terdapat beberapa jenis spesies larak. Bagi pemburu barang mistik pula, larak salah menjadi tumpuan. Ramai yang keliru istilah "salah" pada larak yang diburu. Istilah "salah" merujuk pada larak-larak yang keluar dari tabie larak-larak lain. Antaranya ialah larak akan menjalar dan melilit pokok-pokok di sekitarnya, biasanya lilitannya mengikut pergerakan arah lawan jam. Ia dikira salah bila lilitannya ikut arah pergerakan jarum jam. Kategori-kategori lain juga dikira "salah" seperti daun terbalik. Lain-lain jenis "salah" tidak dapat saya pastikan. Antara kelebihannya yang dikatakan ada padanya ialah pelimun (halimunan) , kebal dan pelembut hati. Walau bagaimanapun semua ini adalah anggapan/kepercayaan semata-mata dan belum pernah diuji di makmal untuk dibuktikan. Mengikut makmal Melayu , cara mengujinya ialah dengan meletakkan larak salah di tempat ayam mengeram/bertelur, jika ori ayam tidak akan jumpa cari sarang. Wallahualam. Jadi jika membeli berhati-hatilah, belilah sekadar ia barangan pelik yang sukar didapati bukan kerana mistiknya.

Jenis besi dalam senjata Melayu Kelantan

Dalam pembuatan Senjata Warisan khususnya keris dan badik di negeri Kelantan, pelbagai jenis besi digunakan. Walau bagaimanapun pada masa kini kebanyakan besi yang digunakan ialah besi kitar semula. Di negeri Kelantan penggunaan paku keretapi sangat popular. Besi paku keretapi lama dan seumpamanya kadangkala mempunyai pamor dan kadangkala tidak berpamor. Besi-besi lain yang popular ialah besi-besi paku jambatan lama dan besi kapal-kapal atau perahu lama. Kesukaran mendapatkan besi-besi berkualiti pada masa kini amat merisaukan kami pengeluar/pembuat keris dan badik.


*berebut-rebut dengan pencari besi buruk

Jangan berpakat

Bila sparing elakkan dari berpakat, gunakan segala kebijaksanaan dan ilmu yang ada untuk menguasai perlawanan. Ini adalah merupakan ujian bulanan sebelum anda menempuh peperiksaan akhir tahun dan peperiksaan Awam.

* ingat-ingat jangan sampai cedera

Memahami kerambit

Antara senjata berbahaya ialah kerambit/lawi ayam . Ia merupakan senjata yang tidak kelihatan. Dibuat mengikut beberapa saiz yang tertentu dan biasanya mempunyai lubang pada hulu untuk mengukuhkan gengaman. Walau bagaimanapun ada juga guru-guru tua yang berpendapat lebih selamat jika tidak memasukkan jari kedalam lubang. Dalam permainan Gayong, pantang besar bermain kerambit ialah apabila lawan menggunakan kain atau tali sebagai tindak balas. Kadar kebengkokan mata kerambit bergantung pada penempah, kadangkala bilahnya agak mendatar untuk disesuaikan dengan kilasan kain pelikat.

Istimewa untuk sahabat


Wednesday, July 15, 2009

Jangan menyibuk

Kadangkala timbul juga rasa bosan dalam dunia perkerisan kerana wujud kaki sibuk yang entah apa-apa. Saya memohon kepada mana-mana pembaca blog yang kurang senang dengan tulisan-tulisan saya agar meninggalkan blog saya dan tidak mengunjunginya lagi. Saya menulis bukan untuk saudara kerana ini blog peribadi saya, saya menulis untuk diri saya, rakan-rakan saya, pelajar-pelajar saya, murid-murid saya, sahabat-sahabat saya dan juga pelanggan-pelanggan saya. Jika saudara pengunjung tidak senang dengan perniagaan saya, biarkan saya berniaga dengan cara saya kerana seboleh-boleh saya tidak mahu menyusahkan sesiapa. Bukan sombong atau ego, tapi sudah terlalu muak dengan kerenah yang entah apa-apa. Usahlah dijadikan "blog Cikgu Nasir" sebagai santapan kritikan sepanjang masa, seolah-olah tidak ada orang lain lagi untuk diselidiki dan dicari salah silapnya. Bukan untuk memutuskan silaturrahiim, tapi lebih senang berurusan dengan mereka yang tahu jaga hati orang. Binalah dunia perkerisan saudara sendiri jangan dipedulikan apa yang "blog Cikgu Nasir" buat. Dunia perkerisan sahabat-sahabat tidak akan pincang jika saudara tidak berkunjung ke blog "Cikgu Nasir".
* semoga bahagia

Rangkaian

Membentuk rangkaian merupakan satu kelebihan dalam sesuatu bidang. Semakin besar rangkaian kita semakin besar pengaruh kita. Membentuk rangkaian tidak boleh dibuat dengan tergesa-gesa atau kerana kepentingan sebelah pihak. Berlebih kurang, ikhlas , percaya mempercayai antara kunci kejayaan sesuatu rangkaian. Rangkaian yang dibentuk atas dasar "hati hitam" biasanya akan mengundang masalah dan tidak akan bertahan lama.

Tuesday, July 14, 2009

Parahnya ...........

Dalam dunia moden hari ini ramai yang boleh bercakap tentang ilmu tasauf. Cakap mereka pula berdegar-degar tapi perangai masyaAllah. Dalam ilmu firasat pula tidak ada kurangnya, seolah-olah kasyaf. Ilmu sains mengalahkan profesor fizik, ilmu sejarah seolah-olah dah dapat Phd. Kadangkala terfikir juga, bila masa belajar? Sebaiknya simpanlah kebolehan dan kehebatan kita.

Ilmu,guru dan perangai

Memiliki pelbagai ilmu yang orang lain tidak miliki kadang kala bagus dan kadangkala tidak bagus. Yang bagusnya kita dapat mempelajari sesuatu yang baru dan beramal dengannya. Yang tidak bagusnya apabila belum habis belajar sudah mula tunjuk pandai. Pada pendapat saya ilmu yang terbaik ialah ilmu yang kita dapat dari seorang guru yang baik. Ilmu itu pula dapat mengubah perangai kita menjadi lebih baik.
*guru kencing berlari, anak murid kencing berapi

Renung sejenak...

Kekadang terasa ingin berkawan-kawan kerana dapat menjana percambahan minda. Berkawan bagus, berteman pun bagus. Yang perlu difikir-fikirkan ialah kawan jenis mana yang patut kita pilih. Kategori kawan (bukan sahabat) yang merisaukan saya ialah apabila kawan-kawan kita tak pernah serik-serik melakukan kesalahan. Jika bersembang ada-ada saja umpatan dan rasa tidak puas hati pada "sianu-sianu" , tak puas hati pada boss, tak puas hati pada bangsa, tak puas hati pada .............. pendek kata dalam dunianya penuh dengan rasa tidak puas hati. Baginya dunia orang lain semua tak betul, itu tak betul, ini tak betul, orang itu penipu, orang ini pembohong, orang itu tak pandai , orang ini makan untung.
Tanpa kita sedar kekadang kita juga tumpang semangkuk ikut rentak kerana seronok melayan nafsu amarah dalam diri. Kesian juga rasanya jika kita terjumpa kawan-kawan jenis ini, kerana mereka ingin mengubah dunia dan isinya, tapi mereka sebenarnya sakit. Jika kita tak mampu mengubah, menasihati dan merawat mereka, lebih baik kita berkawan setakat kedai kopi atau tepi jalan sahaja. Lebih bahagia dan selamat.

Pesan guru

Mencari kekayaan dengan mengajar silat (gayong) jarang orang jadi kaya. Bahkan menjadi bala. Tatapi jika kita mengajar silat untuk bangsa dan agama insyaAllah dimudahkan urusan perjalanan hidup kita walaupun tidak kaya.

Keris Gelanggang Lok 9 berpamor ( SOLD OUT )