sambil fikir zikir sambil zikir fikir

Hadaplah Wajah Mu Ke Mana-Mana Di Situ Ada Tuhan


@Hak cipta terpelihara.Semua artikel dan foto dalam blog ini adalah milik mutlak Cikgu Nasir .
Dilarang sama sekali sebarang bentuk salinan, peniruan atau penerbitan semula tanpa izin penulis/pengarang.

HUBUNGI :

handphone/wassap : 0135292453
email : cikgunasir8130@gmail.com
fb: cikgunasir

Sunday, September 30, 2007

Zamrud


Sebagai seorang lelaki berkerjaya sebaik-baiknya anda memakai sebentuk cincin zamrud yang agak baik kualitinya. Pada masa kini cincin zamrud yang sederhana dan tidak keterlaluan harganya ialah sekitar RM1500.00 ke atas. Apabila hendak membeli zamrud perhatikanlah kejernihan dan kebersihan air zamrud itu. Seboleh-bolehnya batu permata zamrud tidak retak dan tidak ada kekotoran di dalamnya. Semakin hijau dan telus cahaya semakin mahal harga zamrud. Apabila kita memakai zamrud yang berkualiti biasanya orang yang arif akan meminta untuk melihatnya dengan lebih dekat. Itulah keseronokan apabila kita bermain dengan permata.

Zamrud


Zamrud ialah antara batu-batu permata yang bernilai tinggi. Zamrud yang berkualiti harganya mengatasi berlian. Zamrud dikenali dengan nama lain "Emerald" . Ia telahpun dilombong sekitar tahun 300 hingga 500 sebelum Masihi. Zamrud dikatakan sesuai untuk mereka yang lahir pada bulan Mei. Pada masa kini adalah tidak rugi jika kita membeli atau menyimpan zamrud yang bermutu tinggi kerana harganya sentiasa meningkat. Walau bagaimanapun berhati hatilah semasa membeli agar tidak tertipu.Zamrud yang beratnya sekitar 10 karat kebawah harganya adalah antara RM 60.00/karat hingga 100/karat.

Friday, September 28, 2007

Batu cincin dan permata

Hari ini saya ke kedai permata di Kota Bharu, bertemu rakan-rakan seperti Haji Husin(Tauke permata di Aked UDA) Kamal (kedai cincin dan permata), Kori (tukang canai batu permata) dan ramai lagi rakan-rakan. Saya juga sempat singgah di Kedai Batu Permata Cinta Sayang dan Kedai Batu Permata Ori. Hari ini saya ambil 4 biji permata dari Kedai Ori, 3 biji permata citrine dan 1 biji permata "cat eye crystalbryl". Manakala Zamrud pula saya ambil dari Kedai Permata cinta sayang. Membeli permata dan juga mengumpul cincin adalah antara hobi yang paling saya sukai. Jika saudara juga minat membeli permata di sini saya berikan sedikit tip membeli permata :

1. Saiz permata mesti bersesuaian dengan saiz jari anda. Jangan terlalu kecil dan jangan terlalu besar.

2. Kategori permata yang anda pilih. Bagi orang Melayu terdapat beberapa jenis permata yang mereka gemari. Antaranya ialah zamrud, delima, nilam , firus dan aked. Terdapat juga peminat cincin yang membuat permata dari jenis kayu atau batu berdasarkan "power" permata itu seperti koka, pelbagai teras kayu, besi dan sebagainya.

3. Kekerasan batu atau "hardness". Kekerasan batu yang sesuai dibuat batu permata bagi lelaki ialah 6.5 ke atas. Tanyalah tuan kedai batu permata tentang skala kekerasan batu permata yang anda ingin beli.

4. Sebaik-baiknya belilah batu asli dan jangan beli batu permata sintetik ataupun yang telah dinaik gred (dibakar).

5. Permata akan kelihatan amat menarik dan berkilau jika berada di dalam kedai permata kerana disuluhi oleh lampu-lampu. Jadi bawalah permata itu ke tempat yang agak gelap sedikit ataupun di luar kedai untuk melihat kualitinya jika tidak disuluh dengan cahaya lampu.

6. Jangan terus membeli tetapi buatlah perbandingan dibeberapa kedai dahulu terutamanya jika harga permata itu melebihi daripada RM50.00.

7. Belilah batu permata bukannya "power" yang ada pada batu permata. Bersambung....

Cara tikaman keris...satu kajian

Terdapat pelbgai cara menikam dengan keris. Pada umumnya terdapat 3 cara tikaman.

1. Tikaman seperti penumbuk pintal tali. Mata keris berada dalam keadaan terlentang.
2. Tikaman dengan gengaman tangan di atas. Mata keris berada dalam kedudukan menegak.
3. Tikaman sama seperti penumbuk pintal tali .Tetapi pusingan tangan hanya separuh menjadikan kedudukan mata keris menegak.

Pada pendapat saya hanya tikaman 2 & 3 sahaja yang betul. Ini kerana berdasarkan kedudukan mata keris . Sila komen

Biarkan keris berbicara....

Bahasa keris amat indah dan senang difahami asalkan kita berhasrat untuk memartbatkan budaya yang Melayu yang semakin terpinggir ini. Pendekar Melayu akan memerhatikan keris di tangan seseorang untuk mengetahui tahap ilmu persilatan seseorang. Bagi mereka yang mendalami ilmu keris cara mereka memegang keris sudah melambangkan mereka memahami ilmu perkerisan. Bagi seorang guru dengan murid pula, cara guru menghulurkan keris pada anda melambangkan tahap kepercayaan guru pada kita. Bertanyalah pada yang arif ataupun guru-guru tua.

Monday, September 24, 2007

Tip menjaga keris...

Kadang-kadang kita melihat keris rakan-rakan kita berbau wangi dan bebas dari karat. Keris milik kita juga boleh kelihatan begitu. Antara caranya ialah dengan mengambil sedikit minyak kelapa dan dicampurkan dengan minyak wangi(minyak atar), kemudian sapukan pada mata keris dan simpanlah keris itu ke dalam sarungnya. InsyaAllah keris saudara akan berbau wangi dan kelihatan seperti diasapkan setiap minggu.

Adat berkeris.....

Apabila kita melihat keris yang bukan milik kita sewajarnya beberapa perkara perlu diambil kira antaranya :

1. Mintak izin untuk melihat keris dari tuan punya.
2. Minta izin jika hendak melihat atau mencabut keris dari sarungnya.
3. Cabut mata keris semua sekali dari sarungnya
4. Jangan halakan mata keris ke arah orang lain
5. Jangan cium keris , takut beracun
6. Jangan sentuh mata keris dengan tangan, cukup sekadar melihatnya sahaja. Ini kerana bekas tangan kita akan menyebabkan tuan keris bengang dengan kita kerana akan berkarat.

Selamat berpuasa.

Pandai Besi keletihan...

Pada ramadhan ini stok keris saya hanya tinggal dua sahaja, risau juga takut tak dapat memenuhi kehendak kawan-kawan. Untuk pengetahuan tukang besi pada bulan ramadhan ni kerjanya ala kadar sahaja, mengetuk dan menukul besi serta bermain api amat memenatkan. Tempahan saya ada 18 bilah lagi yang tak siap.

Saturday, September 22, 2007

Keris Yang Ideal

Terdapat pelbagai keris di alam Melayu, pada zaman moden ini keris sudah menjadi bahan antik dan juga perhiasan. Fungsi keris sebagai senjata sudah tinggal kenangan. Walau bagaimanapun sebagai seorang ahli silat sewajarnya kita memiliki sebilah keris milik peribadi kita.

Sehubungan itu keris peribadi itu mestilah dibuat sebaik mungkin mengikut ukuran kita sendiri. Keris ini bukanlah ditempa untuk latihan seperti keris gelanggang, sebalikya ia ditempa untuk menjadi rakan kita semasa senang dan susah.

Semasa senang keris ini cantik dipandang dari segi keindahan seni pembuatannya seperti sarung yang cantik dan keunikan pamornya. Semasa susah ia sesuai untuk menemani kita di medan tempur.

Proses memiliki keris ini bermula dengan memilih dan mengumpul besi , sekurang-kurangnya kita mencampurkan 7 jenis besi.

Proses menempa keris ini biasanya dilakukan selama tujuh minggu pada setiap hari selasa berturut-turut. Proses memasukkan jampi atau isi keris dilakukan pada proses penenmpaan ini.

Kita juga perlu memberikan saiz yang sesuai kepada pandai besi utuk mengelakkan daripada ketidaksesuaian saiz apabila siap kelak.

Sarung keris seelok-eloknya dibuat daripada jenis kayu yang keras, contohnya kayu halban. Ini kerana di samping cantik sarung yang keras boleh digunakan sebagai alat menangkis serangan lawan dan tidak mudah patah atau pecah.

Kita juga boleh memasukkan racun di dalam keris semasa proses penempaan. Biasanya racun yang dimasukkan ialah daripada tulang mawas. Saiz keris yang ideal ialah matanya kira-kira sejengkal jari mais kita, tambah seinci. saiz ini tidak terlalu panjang dan tiak terlalu pendek serta praktikal untuk digunakan.

Saiz Pedang Yang Sesuai

Apabila membeli pedang janganlah membel pedang yang terlalu panjang, pedang yang terlalu panjang akan melambatkan pergerakan.

Saiz pedang yang paling ideal ialah apabila kita berdiri lurus sambil memegang pedang dengan tangan diluruskan, hujung mata pedang tidak mencecah tanah.

Sebaik-baiknya pedang mestilah mempunyai sarung.

Elakkan membeli pedang yang mempunyai pelindung tangan penuh dibahagian bawah, ini kerana ia akan membataskan pergerakan tangan apabila kita ingin menukar posisi pedang.

Pedang yang dibeli pula seharusnya tidak terlalu berat untuk diri kita.

Bagi yang mempelajari pedang dalam persilatan , belilah pedang yang hampir serupa dengan pedang semasa anda berlatih.

Membeli dan menyimpan senjata

Adalah menjadi satu keperluan untuk menyimpan sekurang-kurangnya sebilah senjata di atas rumah masing-masing sebagai persediaan semasa kecemasan. Jangan pula hanya ada pisau menyiang ikan didapur sahaja. Sebaik-baiknya simpanlah sebilah pedang pendek. Bukan apa , sebagai ketua keluarga (lelaki) tanggungjawab mempertahankan maruah keluarga adalah wajib. Kalau belum ada, kumpulkan duit dan belilah sebilah. Pesan orang tua-tua , sediakan payung sebelum hujan.

Tip membeli keris pamor

Pamor keris terbahagi kepada 2:

1. Pamor asli
2. Pamor buatan

Pamor asli adalah yang terbaik kerana ia adalah semulajadi keluar daripada besi yang ditempa, manakala pamor buatan adalah hasil kepandaian tukang besi Melayu untuk menghasilkan pamor-pamor yang menarik. Harga pamor asli lebih mahal daripada pamor buatan

Membeli keris pun macam membeli baju juga, kena ukur di badan sendiri, tapi kalau beli keris kena ukur poket sendiri. Selamat berbuka puasa

Friday, September 21, 2007

Tip membeli keris

Dalam urusan jual beli keris pembeli seharusnya berhati-hati dan perlulah memiliki sedikit ilmu agar tidak mudah ditipu oleh penjual. Pertama sekali anda mesti tahu keris apa yang anda ingin beli. Sama ada untuk latihan atau pun sebagai koleksi untuk menikmati seninya. Kedua apabila berhadapan dengan penjual perhatikan kualiti mata keris sama ada masih sempurna taupun sudah banyak yang runtuh akibat karat. Ketiga amati sarungnya, tanyalah kepada penjual keris dari jenis apakah sarung keris itu diperbuat. Keempat , belilah keris dan jangan membeli temberang ataupun propaganda penjual keris. Kelima, jangan terburu-buru membeli keris jika harganya melebihi RM300.00 kerana keputusan yang akan anda buat biarlah setimpal dengan nilai barang yang anda beli.

Fikirkan...

Manusia yang hidup memerlukan air, Oleh itu mahu tak mahu maka air adalah keperluan manusia. Oleh sebab itu manusia harus mengenal air yang menjadi keperluannya. Walau bagaimanapun tidak perlu semua manusia mengenal komposisi air dari segi kimianya secara mendalam sehingga membuat analisis mengkaji atom dan zarah-zarahnya. Urusan itu kita berikan kepada pakar-pakar menguruskannya. Sehubungan itu tidak semua istilah yang digunakan oleh pakar-pakar itu perlu kita ketahui. Cukuplah bagi kita kenal air itu untuk membezakannya dengan air yang beracun. Adalah lebih baik bagi kita mencari kaedah untuk mendapatkan punca air yag bersih, belajar cara untuk menjadika air yang kita minum lebih berkhasiat.

Thursday, September 20, 2007

Proses menatah perak

Pamor yang terhasil pada keris Cik gu Nuruddin dan Keris JPN N9 amat cantik, terasa sayang pula nak jual, kedua-dua keris ini saya hantar ke bengkel tukang perak untuk dibuat pendokoh serta ukiran perak pada sarungnya.

KERIS ANTIK





Keris Tajung
Hulu kayu Kenaung Berukir Bunga Kuncup Bertatahkan Suasa. Sarung Kayu Kemuning Kuning dan Halban Plot.
Panjang 16 inci
Pernah Mendapat Tempat Kedua Pertandingan
Keris Di Kelantan Pada Tahun 2006
Harga RM7000.00

Wednesday, September 19, 2007

Nantikan foto terbaru keris-keris yang baru siap ditempa

Langkah Pendekar

Apabila seseorang pendekar hendak keluar dar rumahnya dengan sesuatu tujuan yang besar seperti pergi berperang dan seumpamanya. Maka kebiasaannya bagi pendekar Melayu mereka akan melihat terlebih dahulu tanda geruh serta ajal maut mereka. Jika mereka dapati pemergiannya kali ini tidak akan kembali lagi maka ia akan menyelesaikan terlebih dahulu urusan-urusan penting dan meniggalkan amanat agar kematiannya nanti tidak menimbulkan banyak masalah kepada keluarga. Jadi dia akan mengamuk habis-habisan menentang musuh kerana dia akan terkorban dalam peperangan atau pun pertempuran kali ini.

Tuesday, September 18, 2007

Jawab, jangan tak jawab

Kijang mengantuk di rumpun buluh
Makan Kaduk di dalam padi
Tuntut ilmu bersungguh-sungguh
Kerana hidup tunangnya mati

Tanda akan mendapat malu

Biasanya bagi Hamba Allah yang mengambil berat dan cakna akan diri sendiri Allah akan anugerahkan kepadanya agar dapat merasai perubahan dan gerak-gerak yang berlaku atas fizikalnya. Di sini saya ingin berkongsi satu tanda yang telah lama saya tahu iaitu tanda-tanda akan mendapat malu pada hari itu (bukan dapat wang). Walaupun tanda itu telah kita ketahui, peristiwa yang akan berlaku tidak dapat kita ubah, kerana ia telah ditetapkan oleh Allah S.W.T kepada kita. Kita hanya perlu bersedia dari segi mental dan hendaklah redha atas ujian Allah terhadap kita. Berlakunya kita dimalukan pada hari itu mungkin tanpa kita sedari dalam kehidupan kita sehari-hari kita telah menjatuhkan air muka orang lain. Semua yang berlaku anggaplah sebagai ujian Allah atau pun balasannya kepada kita untuk membimbing kita menghadapi ujian yang lebih besar lagi. ( panjang pula syarahnya, tanda tak cakap lagi, iklan-iklan...). Tandanya ialah berdenyut atau bergerak-gerak kulit atas dahi antara kedua-dua kening. Kedudukannya di atas sedikit dari kening. Jika ada rezeki saudara yang membaca, InsyaAllah saudara akan dapat merasai pergerakan ini setelah mengetahui apa yang akan berlaku selepas itu. Walau bagaimanapun apa yang akan berlaku tetap akan berlaku, cuma kadar kesanya kepada emosi kita dapat dikurangkan. Wallahualam. AllahuAkbar

Monday, September 17, 2007

Tanda nak mati

Terdapat pelbagai tanda awal orang yang akan meninggal dunia, apabila kita melawat orang yang sedaang sakit biasanya kita akan menyentuh badan orang yang sakit itu, sama ada mengosok-gosok atau memicit-micit badannya. Ambillah kesempatan itu untuk memegang kakinya dan mencari nadi yang berada paling bawah iaitu di bawah buku lali. Mengikut ilmu firasat orang-orang dulu jikalau nadi itu sudah tidak berdenyut lagi maka kematian akan sampai dalam masa 24 jam. Walau bagaimanapun janganlah kita mennyatakan secara terus berita kematian ini kepada ahli keluarganya. Sebaik-baiknya hendaklah berkias kepada seseorang yang rapat contohnya seperti berkata " ikut ilmu pesakit ini tak boleh kita tinggalkan, kalau tidak tak sempat nak jumpa". Biasanya nyawa akan ditarik ikut kepala, sebenarnya yang paling awal tiada nyawa ialah di kaki, wallahualam.

Thursday, September 13, 2007

MENTALITI ANJING

Seekor anjing dilontar dengan seketul batu, lantas menyalak-nyalak marahkan batu yang menyakiti tubuhnya. Marahnya pada batu itu, bukan kepada si pelontar batu itu. Itulah mentaliti anjing.
Tidaklah jauh bezanya dengan seorang yang apabila merasai dirinya ditipu atau dikhianati, atau dipersendakan atau direndahkan, maka akan marah dan amat kecewa sekali dengan sikap saudaranya itu. Pandangannya terarah kepada makhluk itu, bukan kepada itu "......Yang Menjadikan kamu dan apa-apa yang kamu kerjakan". Inilah mentaliti seorang hamba yang terhijab dari hakikat.
Mungkin disebabkan jahilnya, mungkin kerana bebalnya, mungkin kerana tebalnya ammarah atau mungkin kerana punya penglihatan tetapi yang tidak boleh melihat.
Pada "si jahil" itu......... tidak hairanlah, sebab kerana kejahilannya itulah yang menjadikan mereka tidak tahu perkara yang sebenarnya.
Tapi yang dihairankan ialah;
kenapa "si yang sudah tahu" itu masih bebal lagi mempertahankan "keegoannya"?
kenapa "si yang baru berjalan untuk mengenal" masih lagi rakus menilik kepada agyar dan masyiwaLlah?
kenapa "si yang mengaku sudah ahli makrifat" masih lagi silau dengan Nur/Warid yang mendatangi? Dengan kerana itu, sedarilah wahai ahli-ahli Ilmu dan ahli-ahli Amal(Thoriq);
kekuatan ilmu yang dimiliki itu bukanlah sesuatu yang dapat menjamin kedudukan dirinya.
Demikian jua dengan amal berbukit-bukit yang didirikan, bukan juga sesuatu yang dapat mendekatkan "kehampiran"nya.
Begitu juga dengan lebatnya Warid-warid yang mencurah bukanlah sesuatu yang menjamin tumbuhnya "pokok keyakinan" tempat hinggap "merak" itu. Sebenarnya........
amal ialah ilmu yang berupa atau berbentuk. Lampaui kedua-duanya dan capai "hal" iaitu sempadan yang paling hujung bagi kedua-dua itu.
Capailah "hal" barulah ilmu dan amal anda menjejaki tepian laut itu, Jadikan ia sebagai kapal(bukan perahu kolek) untuk belayar dalam lautan Keesaan itu. Lautan di mana tidak diiktibarkan lagi jahil atau berilmu, banyak atau sedikit atau tempat di mana tidak lagi ditiliki apa jua isyarat yang terbit dari anda.
Kebanyakan ahli-ahli dakwa yang mengakui dirinya seorang sufi atau pengikut setia mereka lupa bahawa dalam pada mereka memperagakan ilmu-ilmu yang ditalkinkan dari guru-guru yang 'Alim atau menyatakan rujukan daripada beratus buah kitab atau mengistilahkan sekelumit pengalaman keruhanian mereka; zhohirnya pula menunjukkan sesuatu yang tidak selari sebagaimana yang mereka cuba pamirkan.
Ini adalah kerana, mereka tidak berada pada "hal" sebagaimana yang cuba didedahkan. Mereka hanya mengulang-ulang pengucapan gurunya, mereka hanya mencebuk dari telaga hikmah orang lain, mereka banyak berbimbang dengan agyar(wirid, warid, isyarat, keramat, terbuka yang ghaib) yang menunjukkan mereka cuba menyatakan sesuatu yang bukan "hal" dirinya; tetapi cuba memperkatakan "hal" orang lain mengikut kefahaman dan pandangan mereka yang terhijab dengan ilmu dan amal mereka. Mereka ini adalah semata-mata ahli dakwa yang tersingkir dari erti dan maksud Tasauf itu.
Jika ingin mengatakan sesuatu yang hakikat, maka berkatalah dengan "lisan hal" bukannya dengan lisan ilmu atau lisan amal
Mereka berkata,
"Hakikat diri kita ialah Fakir, Hina, Lemah, Dhoif, Jahil lagi Haqir"
tetapi dalam masa yang sama atau di tempat yang lainnya mereka merasakan
dirinya kaya dengan rezeki yang ma'nawi,
Ada kedudukan dan perhatian daripada makhluk,
kuat dan tekun mengistiqamahkan wirid-wirid,
dapat menembusi alam-alam di sebelah sana,
mampu melakukan yang lebih baik lagi,
mengetahui banyak perkara dan merasakan ada tempat di sisi Tuhan. yang terzhohir pada perlakuan-perlakuan yang antaranya;
Merasa senang dengan pujian dan marah dengan celaan;
Senang jika ramai yang mengiyakan apa yang dikatakan tetapi tidak senang bila ada yang menidakkannya.
Terkadang sampai hilang pertimbangan diri sehinggakan sanggup mengerahkan segala kekuatan ilmu yang ada
hatta sampai sanggup membongkarkan rahsia-rahsia(yang terkhusus untuk dirinya sebagai hujah ilmunya. Ini bukanlah rupa atau wajah "hal" atau Hakikat Fakir, "hal" Hina, "hal" Lemah, "hal" Dhoif, "hal" Jahil dan "hal" Haqir sebagaimana yang sebenarnya; tetapi semata-mata dakwa dan kianat membukakan rahsia Ma'ani. Satu pelanggaran terhadap makna tasauf. Syirik khofi yang tersembunyi di sebalik riya' dan sumu'ah. Memang kejahatan ini tersembunyi kerana yang khofi ini seumpama semut hitam yang merayap pada sebuah batu hitam di waktu malam yang pekat. Sukar untuk dikesani kejahatan ini kerana ia berada pada pelbagai wajah kebaikan. Bercampur(Bersekutu) dalam ilmu, amal dan muraqobahnya.
Tidak salah rasanya, jika diperturunkan kata-kata Aulia Allah seperti di bawah untuk mengukur kedudukan diri kita bahawasanya;
Takrif Tasauf itu ialah;
"Menghilangkan dakwa" dan "menyembunyikan Maani"(rahsia)
"Menganggap diri sendiri sebagai seorang Sufi itu adalah satu anggapan besar, sekurang-kurangnya dia bukanlah sufi". Abu Hassan al-Khorkhoni. (Di petik dari Suluk Homepage)

Mati.... dekatnya

Mati berada bersama hidup. Jika nafas kita masuk dan tidak keluar, maka matilah kita. Seandainya nafas kita keluar dan tidak masuk , maka kita juga kan mati. Jasad kita sebenarnya mati jika tiada nywa. Kerana itu mati sentiasa mengiringi hidup.

Friday, September 07, 2007

"Tenaga dalam"... renungkan bersama

Dalam u tube terdapat banyak paparan video yang memperlihatkan pelbagai aliran beladiri berkaitan dengan tenaga dalam, pukulan angin, pukulan jarak jauh dan sebagainya. Aliran-aliran ini terdapat di seluruh dunia. Bukan hanya aliran silat Melayu sahaja. Dalam ujian atau demonstrasi yang sebenar ada yang menjadi dan ada yang cedera parah. Fikir-fikirkan.

Tiada Jalan Singkat belajar silat

Seringkali saya diajukan soalan oleh teman-teman ang nampak agak berminat hendak belajar silat. Soalan mereka sering berkisar sekitar masa yang diambil unutk belajar silat agak panjang dan lama. Pada pandangan saya tidak ada jalan pintas untuk menjadai pesilat yang baik. Janganlah kita terpengaruh dengan momokan dan angan-angan dalam mempelajari silat.

Lahirkan budaya menuntut ilmu

Pada masa kini kegigihan dan ketekunan dalam menuntut ilmu semakin pudar dalam diri generasi muda. Mereka dilekakan dengan motosikal dan juga telefon bimbit. Ilmu yang didapati tanpa jerih payah dan pengorbanan tidak akan dirasai kemanisan dan kehebatannya.

Syabas..Maahad Amir Inderaputra Bachok

Kegigihan pelajar-pelajar SMU Maahad Amir Inderaputra Beris Kubur Besar mengadakan majlis tamat latihan dan penyampaian bengkung berlangsung pada pagi ini. Jumaat 7/9/07. Walaupun dalam suasana serba sederhana ia tetap berjalan lancar. Tahniah atas kesungguhan pembantu-pembantu jurulatih yang berusaha gigih.

Tuesday, September 04, 2007

Bertuahnya Bumi Malaysia

Dalam kegahairahan kita menyambut ulang tahun Kemerdekaan Negara, pelbagai pesta dan festival diadakan. Muda mudi menyambut merdeka dengan cara mereka dan orang dewasa merdeka dengan cara mereka. Di celah-celah kekalutan ini masih lagi terdapat sebahagian hamba Allah yang mengabdikan diri kepada Allah dengan sepenuh jiwa raganya memohon dan bermunajat kepada Tuhan untuk kesejahteraan negara. Manusia-manusia gigih ini beruzlah di tempat-tempat sunyi yang jauh dari mata manusia. "Bertuahnya bumi ku Malaysia"

Lengkapkan Diri Pemuda dan Pemudi Melayu dengan Silat

Dalam keadaan Malaysia yang aman dan makmur ini, seringkali kita sebagai umat Melayu Islam terleka dan terlena. Jati diri generasi muda semakin terhakis, ilmu agama semakin menipis. Anak-anak Melayu mula bangga dengan rap, rock dan pelbagai lagi "rat". Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk membimbing dan memujuk generasi baru agar kembali kepada akar mereka. Penuhkan dada pemuda-pemudi kita dengan ilmu agama dan juga warisan silat Melayu, lihat dan bacalah sejarah, jasa silat Melayu dalam rentetan kemerdekaan, 13 Mei tidak dapat dinafikan.